Erti Ketuanan Rakyat, Raja Berperlembagaan
Masa sudah tiba untuk rakyat bangkit menghayati kembali erti perjuangan kemerdekaan yang bertunjangkan ketuanan rakyat dan menolak kepimpinan perasuah dan perompak harta benda.
'Ketuanan Rakyat' akan membawa kepada demokrasi matang di bawah naungan raja beperlembagaan. Kita mahukan demokrasi yang matang, bukan demokrasi yang tempang, bukan demokrasi yang kakinya dipatahkan oleh mereka yang terus ingin berkuasa meskipun telah tidak lagi didukung oleh rakyat.
Di depan mata kita adalah krisis ekonomi yang paling dahsyat dalam sejarah bangsa kita. Tetapi kita juga berdepan dengan rasuah, krisis undang2 dan masalah hubungan kaum yang meruncing. Maka rakyat perlu perkasa dan berjiwa besar yang menuntut pengurusan bersih dari rasuah dan kezaliman mampu menjana ekonomi dan perihatin dengan penderitaan rakyat.
Wujud kaitan jelas antara permasalahan ekonomi dengan pengurusan negara yang berpaksi kepada penyelewengan dan salah guna kuasa. Beban rakyat bertambah akibat kebocoran atau ketirisan kos air, elektrik dan tol meningkat. Ini juga berpunca daripada kecurangan dan perjanjian memihak kepada pemodal dan membebankan rakyat samada konsesi tol lebuhraya atau janakuasa bebas (IPP).
BN sekian lama menangguk di atas keperitan rakyat miskin dengan memberikan sedikit bantuan yang hanya bertujuan mengetatkan kebergantungan rakyat terhadap bantuan remeh seumpama itu. Pendekatan itu adalah politik murahan BN yang tidak berupaya melepaskan rakyat daripada putaran ganas kemiskinan dan oleh itu harus ditamatkan.
Sudah tiba masa untuk rakyat menuntut program bantuan lebih berkesan yang merentasi kaum, umpamanya kredit mikro untuk masyarakat Melayu, bumiputera dan rakyat miskin. Kita perlu melakukan anjakan dalam dasar pembangunan desa dan pendekatan baru dalam menangani kemiskinan bandar.
'Ketuanan Rakyat' perlu ditegakkan di atas prinsip persaudaraan sesama manusia, tanpa mengira warna kulit, keturunan, agama dan kepercayaan. Perbedaan pendapat akibat daripada perbezaan agama dan budaya harus dilihat dari sudut positif supaya tidak menjurus kepada konflik dan kekerasan. Rakyat segenap lapisan harus menghantar mesej jelas menuntut UMNO berhenti menyebar fahaman melampaunya bahawa negara ini adalah milik satu kaum sahaja.
Mereka sengaja memesongkan maksud sebenar falsafah negara kebangsaan itu demi kepentingan segelintir yang memerintah. Pemimpin BN memakai topeng nasionalis baru dan melalak isu perkauman secara sempit, semata-mata untuk mengaut keuntungan dan menzalimi rakyat, atas nama bangsa dan agama.
Sudah tiba masa untuk menujukkan kepada rakyat apa yang menjadi pemisah antara kerajaan di dalam PR dengan BN. Menerusi PRU lalu, telah memberikan peluang jelas kepada PR untuk mengotakan apa yang sering dilaungkan.
Kita menentang rasuah dan ketidakadilan. Kita menuntut agar kehakiman bebas, kita mahu pendidikan serta kebudayaan dimartabatkan. Kita mahu pengurusan ekonomi yang cekap, tadbir urus yang beramanah dan berwibawa. Kita impikan sebuah negara yang makmur untuk semua. Adalah 'wajib' untuk PR menunjukkan kewibawaannya kepada rakyat yang menaruh harapan tinggi kepada gagasan ini.
Walaupun baru setahun jagung, PR sudah pun meletakkan asas2 yang teguh membawa Agenda Ekonomi Malaysia di Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah di samping meneruskan khidmat cemerlangnya di Kelantan. Iltizam kita untuk melaksana tata urus yang baik tidak boleh dinodai. Kita menyaksikan ianya dilaksanakan di negeri2 yang kita perintah. Kontrak diluluskan dengan lebih cekap dan telus. Tender adalah terbuka, cara memberi kontrak dalam gelap dan tempat ahli politik mengaut rasuah dari wang rakyat, sebagaimana yang dilakukan oleh pemerintahan BN, telah berlalu.
Hasil pemerintahan beramanah dan telus, kerajaan negeri PR telah menjimatkan ratusan juta wang rakyat di samping memberi bantuan lebih besar kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana terutamanya kepada Bumiputera. Meskipun ekonomi gawat, negeri2 seperti Pulau Pinang, Selangor dan Perak mencatat pelaburan tinggi manakala Kelantan mempunyai kadar rasuah dan kadar jenayah paling rendah. Di Pulau Pinang pelaburan meningkat dua kali ganda dalam setahun, di Perak meningkat kepada RM 3.4 billion.
Pelaburan di Selangor mencacat tertinggi dalam 9 tahun, sebanyak RM 11.87 billion dan telah mewujudkan 30,000 pekerjaan baru untuk rakyat Malaysia. Selangor dan Perak turut mengurangkan beban rakyat di zaman kemelesetan ini dengan mengurangkan bayaran bekalan air. Manakala Kerajaan Perak telah memberikan geran tanah kepada keluarga2 yang layak secara adil termasuk untuk Orang Asli, Melayu dan Cina.
Kerajaan Negeri PR khususnya Selangor dan Kedah turut memberi tumpuan berat kepada pendidikan dengan menyediakan prasarana untuk sekolah semua kumpulan etnik. Di Perak 1000 hektar tanah diberikan untuk sekolah agama rakyat dan sekolah jenis kebangsaan Cina.
Di peringkat Parlimen, PR akan melakukan apa saja...untuk memastikan persoalan rakyat didengar dan diselesaikan. Kita telah berulang kali menyebutkan mutu pendidikan kita yang merosot, kos kesihatan yang meningkat, harga barang yang melambung tinggi dan pengurusan masalah yang tidak bersepadu dan pentadbiran yang kucar kacir.
Saya mengakhiri ucapan ini dengan menjanjikan perjuangan untuk menyerlahkan 'Ketuanan Rakyat' supaya perubahan yang terlaksana, walaupun menerima tentangan, tekanan dan asakan hebat BN tidak luntur.
"Jalan yang kita tempuh ini belum lagi berani diteroka sebelumnya. Sejarah menjadi saksi betapa ianya jalan berliku, penuh dengan segala macam cabaran dan tentangan. Kita mungkin diserang dari segala arah, wakil kita mungkin sahaja diculik, namun yakinlah, kita tidak mungkin hilang arah tuju".
DSAI
No comments:
Post a Comment