" Ya.. Allah.., berilah hidayat, hifazat dan maghfirahMu kepada pemimpin kami Imam Mahadi Al-Muntazar walau di mana baginda berada. Selamatkanlah baginda, bantulah baginda, begitu juga para pejuang Islam yang akan bergadai nyawa di sisinya. Ya.. Allah.., selamatkanlah seramai mungkin umat ini dari fitnah dan sihir Dajjal. Ya.. Allah.., bantulah kami menghadapi gelombang-gelombang ujian yang bakal mendatang "


INFO TERKINI GEMPA BUMI SABTU 3 MARCH 2012
8.20 pm -
Gempa bumi kuat bermagnitud 6.7 skala Richter telah berlaku di Tenggara Kepulauan Loyalty. Pusat gempa bumi tersebut terletak di latitud 22.1 Selatan longitud 170.5 Timur - 6403km Tenggara Tawau, Sabah :- JMM
PRO REFORM VIDEO - Piring Terbang..?

31 October 2009

Khalid:Badrul Boleh Saman Malu Jika Mahu

Menteri Besar,Tan Sri Khalid Ibrahim tidak akan menghalang tindakan ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdulllah untuk menfailkan saman malu terhap beliau.

Menurutnya jika mahu, Badrul juga boleh menfailkan saman terhadap beliau menggunakan wang Umno-Barisan Nasional. “Dia boleh saman kalau dia nak,boleh pakai duit UMNO juga",katanya berhubung isu ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang isu ini dalam satu sidang media selepas menghadiri Konvokesyen Universiti industri Selangor (Unisel) di Bestari Jaya pagi tadi.

Terdahulu,Badrul dalam kenyataannya berkata, beliau akan menfailkan saman terhadap Khalid yang kononnya menfitnahnya mengalami masalah mental.

Selepas keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi ADUN Bebas menyokong Barisan Nasional, Badrul dilihat cuba menunding jari menyalahkan kerajaan negeri dan parti di atas keputusan yang diambil.

Bagaimanapun, rakyat khususnya di Pelabuhan Klang sedia maklum dengan perilaku Adun berkenaan yang gagal menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Tindakan keluar parti itu diambil selepas Khalid mengutarakan usul kepada PKR meminta Badrul meletakaan jawatan bagi membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap masyarakat Pelabuhan Klang.

Walaupun dikecam hebat penduduk Pelabuhan Klang, badrul masih enggan melepaskan jawatannya.

(TVS)

30 October 2009

LIWAT II: 6 Nov Rayuan Berhubung Sampel Spesimen Saiful

PUTRAJAYA - Pihak pendakwaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menunggu sehingga 6 Nov bagi keputusan Mahkamah Rayuan terhadap rayuan berhubung dokumen dan sampel spesimen yang diambil daripada Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Datuk Hasan Lah, yang mengetuai panel dianggotai Hakim-hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Datuk Sulaiman Daud, selepas mendengar penghujahan dari kedua-dua pihak, berkata mahkamah memerlukan masa untuk menimbangkan perkara itu. - Bernama

MB Selangor: Badrul Tidak Layak Wakili PKR

MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata ADUN Pelabuhan Klang Badrol Hisham Abdullah tidak lagi layak mewakili Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat kerana beliau gagal berkhidmat untuk rakyat walaupun berulang kali ditegur oleh pimpinan parti.

Tan Sri Khalid berkata beliau mengalu-alukan pengumuman Badrol bahawa beliau kini akan menjadi ADUN bebas dan menyokong Barisan Nasional.

"Kita merasakan YB Badrul Hisham tidak boleh mewakili Pakatan Rakyat, melihat kepada rekod kerja beliau yang tidak memuaskan. Beliau dilihat tidak boleh, dan tidak mahu berkhidmat kepada rakyat. Demikian itu, Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat tidak boleh bertolak-ansur," kata Khalid.

Khalid berkata Badrul sepatutnya mengambil langkah terhormat dengan meletak jawatan dan memberi laluan kepada pihak yang mampu melaksanakan amanah penduduk Pelabuhan Kelang.

"kita tidak halang beliau menjadi wakil rakyat bebas, tetapi belia dianggap telah menyalahguna parti untuk menjadi calon," kata Khalid.

"Mungkin cara yang dia lakukan ini adalah apa yang beliau fikirkan terbaik untuk dirinya. Tetapi ada yang lebih baik iaitu meletak jawatan dan membuka ruang kepada orang yang boleh bekerja, kerana beliau berkhidmat untuk semua rakyat," tegas beliau.

Khalid berkata demikian ketika ditemui TV Selangor di Hotel Blue Wave, Selangor. Beliau berada di situ menemui delegasi usahawan dan perniagaan terkemuka negara dan antarabangsa.

Badrul bertindak mengumumkan keputusan keluar dari Keadilan dan menjadi ADUN bebas menyokong Barisan Nasional setelah Tan Sri Khalid mengusulkan kepada pucuk pimpinan Keadilan supaya Adun itu meletak jawatan.

Usul itu dibuat setelah Badrul gagal membela penduduk Pelabuhan Kelang, malah enggan membuka pusat khidmatnya.

Keadaan itu memaksa Setiausaha Politik menteri Besar Nik Nadzmi untuk memikul tanggungjawab memberi khidmat kepada penduduk di situ.

Meskipun Badrul diberi surat tunjuk pada 20 Ogos 2008, beliau tidak menunjukkan komitmen untuk memperbaiki diri.

Khalid dan pimpinan Pakatan Rakyat mengambil pendirian tidak mahu bertolak-ansur dengan wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab seperti Badrul.

Mengenai laporan memetik Ketua Pembangkang Khir Toyo sebagai mengalu-alukan sokongan Badrul kepada Umno-BN, Khalid berkata kenyataan Khir toyo itu hanya menyerlahkan budaya dalam Umno.

"Tidak jadi masalah bagi saya kerana jumlah Pakatan Rakyat lebih ramai dari wakil rakyat BN," katanya.

"Dan jika benar dia bersekongkol dengan Umno-BN, dengan sikapnya yang sebegitu, maka tidak menjadi masalah kepada kita kerana kita hanya pilih mereka yang boleh bekerja," tambah Khalid.

(TVS)

Kenyataan Media Presiden PKR

Rombakan kepimpinan Keadilan telah menimbulkan kekeliruan dan keresahan di kalangan tertentu. Saya sepenuhnya menyedari bahawa tidak semua akan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat kepimpinan parti serta menghargai betapa sukarnya kami untuk membuat keputusan dengan meneliti setiap pandangan yang disampaikan, termasuk dari cabang-cabang yang menjadi tulang belakang parti, di samping memastikan parti mencapai matlamatnya.

Tatkala parti kita mulai berkembang dan menjelma menjadi sebuah organisasi yang disegani dan dihormati, sememangnya kita akan menempuh saat sukar untuk mencipta kesimbangan kepimpinan yang terbaik dan strategi yang ampuh untuk mengangkat kita ke tahap perjuangan seterusnya.

Sepanjang itu kita telah menempuh pelbagai cabaran serta menemui bakat-bakat baru yang komited dengan perjuangan parti. Kita perlu bekerja kuat untuk mencapai apa yang dicita-citakan dan keputusan yang dibuat minggu ini dibuat selepas mendapat mandat dan berdasarkan semangat musyawarah dalam parti.

Keadilan ditubuhkan untuk menjadi wadah penyatu kepada semua Rakyat Malaysia merentasi batas agama dan kaum serta mengembalikan keutuhan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Perjuangan ini ternyata bukan tugas mudah dan merupakan satu tanggungjawab serta cabaran kepada semua pendokong Keadilan.

Beberapa tahun lalu ramai yang mencemuh kita kerana kesungguhan perjuangan Keadilan yang berhasrat untuk menamatkan politik perkauman sempit dan membanteras amalan rasuah. Namun bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, kita telah melakarkan kejayaan bersejarah demi memulihkan demokrasi, kebebasan dan kedaulatan undang-undang. Kejayaan tersebut kita kecapi walaupun tidak mendapat sokongan media arus perdana dan berhadapan dengan segala kekuatan serta serangan bertali arus institusi kerajaan yang dikongkong pimpinan Umno-Barisan Nasional.

Sememangnya kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang mengecewakan selepas pilihanraya umum Mac lalu. Perjuangan politik kepartian terbukti berhadapan dengan jalan berliku, dan permuafakatan politik tidaklah menjelma sekelip mata. Kekecewaan yang diluahkan oleh sebilangan rakan dan ahli parti ada asasnya. Walau bagaimanapun saya sedia berbincang dengan semua pihak didasari rasa hormat, persefahaman dan iltizam menegakkan keadilan.

Masa hadapan negara ini, perjuangan kita serta Pakatan Rakyat tidak bergantung kepada mana-mana individu. Saya menyeru agar semua berpegang teguh dan tetap bersabar memastikan kejayaan perjuangan kita demi Rakyat Malaysia.

WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden PKR

'Penyakit' BN Mula Menular Kepada PR ?

Biarpun sudah setahun lebih berlalunya PRU-12, suasana politik dalam negara kita masih bergelora dan sehingga sekarang belum lagi menunjukkan tanda-tanda ianya akan reda. Nasib malang sentiasa menimpa BN manakala PR dengan penuh yakin bersama sokongan rakyat terus mara kedepan. Krisis dalaman parti komponen BN semakin menjadi-jadi.

Rakyat begitu kagum dengan kehebatan permaufakatan dalam PR, 3 parti politik yang berlainan ideologi telah berjaya duduk semeja dengan diketuai oleh DSAI yang sebelum ini telah tewas ditengah jalan. PR terbukti mampu 'mengejutkan BN dari tidur'. BN terpaksa meniru cara yang PR gunakan biarpun mereka terpaksa 'menggadai' prinsip mereka selama ini.

Namun, sejak kebelakangan ini, parti komponen dalam PR juga iaitu PAS Hadi 100% ahlinya Melayu dan PKR pula parti pelbagai kaum mula dilanda krisis samada ianya sudah dirancang pihak lawan ataupun benar-benar terjadi angkara pertelingkahan turut sama melanda.

DAP iaitu parti yang sinonim dengan bukan Melayu (Cina) seingat saya tidak pula bergolak.Walaubagaimanapun, pimpinan tertinggi 2 parti berkenaan tetap menafikannya.

Gelora Melanda PKR

Gelora yang mula melanda PKR bermula dengan percutian mengejut Zaid Ibrahim yang berpunca dari perselisihan faham sesama sendiri angkara perebutan jawatan. Azmin Ali telah dikaitkan dalam perselisihan ini.

Pada awal kejadian ini berlaku Azmin masih memegang jawatan Ketua Perhubungan PKR Sabah. Dikhabarkan Azmin tidak berpuas hati oleh kerana Zaid lebih popular dari Azmin bagi PKR Sabah. Namun, DSAI menafikan dengan mengatakan media tunggangan UBN telah memutar-belit cerita.

Selepas kekecohan itu, DSAI telah menukar Ketua Perhubungan PKR Sabah daripada Azmin kepada Ahmad Thamrin pada hujung minggu lalu selepas ketua-ketua Cabang menyatakan tidak yakin dengan Azmin untuk menerajui PKR Sabah.

Jika diikutkan, sepatutnya selesailah masaalah di Sabah. Namun lain pula jadinya, ianya menambahkan lagi pergolakan. Dr Jeffrey Kitingan telah bertindak meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR, anggota majlis tertinggi dan anggota biro politik. Bagaimanapun beliau masih kekal sebagai anggota biasa parti.

Tidak terhenti setakat itu, ketua Cabang Kota Kinabalu dan bekas timbalan pengerusi PKR Sabah Christina Liew pula mengikut jejak Jeffrey dengan mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota majlis tertinggi. Beliau juga masih kekal sebagai anggota parti dan mengekalkan jawatan ketua Cabang. Jawatan Timbalan Pengerusi PKR Sabah telah diganti kepada Datuk Kong Hong Ming.

Terbaru Badrul Hisham ADUN PKR Pelabuhan Kelang sebelum ini digembar-gemburkan akan mengikuti jejak '3 Katak PKR', hari ini telah terbukti apabila Adun berkenaan telah bertindak keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

Apa yang menimpa PKR jelas ianya berpunca daripada perasaan tidak puas-hati dengan keputusan yang dibuat oleh DSAI dalam usaha untuk menyelesaikan pergolakan disana (Sabah). Sikap sebegini tidak ubah sperti UMNO. Apa sudah jadi dengan PKR?

Kita berharap, DSAI mampu menyelesaikannya sebelum rakyat memperlekehkan parti yang sudah terbukti dari dulu sehingga kini, satu-satunya parti yang amat digeruni oleh BN terutamanya UMNO.

Kerajaan BN sudah pasti akan berasa amat selesa dengan situasi yang menimpa PKR kini. Mereka akan dapat tidur lena semula seandainya PKR berterusan begini. 'Lemah PKR, maka kuatlah UMNO'.

Untungnya PAS dan DAP Diatas Pengorbanan DSAI

Bermula daripada peristiwa hitam pemecatan DSAI oleh Tun Dr Mahathir (TDM) dengan mereka-cipta konspirasi jahat terhadap beliau, maka wujudlah 'senario membenci kerajaan BN' terutama sekali UMNO.

Bermula dari pengorbanan DSAI, PAS mula mendapat tempat dihati rakyat. DAP yang sebelum itu dicanang oleh kerajaan BN sebagai sebuah parti ekstrim dan anti-Islam turut sama mendapat untungnya. Dengan satu matlamat biarpun berbeza ideologi politik, 3 parti iaitu PKR, PAS dan DAP telah bergabung dengan nama Barisan Alternatif (BA) semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan BN.

Tidak lama selepas itu, kerajaan BN terpaksa membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-10. Ramai yang berpendapat, peluang BA menafikan majoriti 2/3 BN di parlimen amat cerah. Gelora kebencian rakyat terhadap kerajaan BN semakin membara.

Ideologi 3 parti komponen dalam BA jelas bertentangan sama sekali khususnya PAS dan DAP. Disebabkan PAS adalah parti paling 'senior' diantara PKR dan DAP, maka manisfesto BA bagi menghadapi PRU-10 terpaksa mengikut selera PAS, iaitu 'pembentukan sebuah negara Islam' dalam keadaan tergesa-gesa.

Natijahnya, BA gagal melaksanakannya, Keputusan PRU-10 tetap memihak kepada BN. Bagaimanapun, PAS berjaya merampas Terengganu dari tangan BN. Atas kemenangan inilah PAS mula berubah. Lain pula apa yang menimpa DAP. Banyak kerusi kawasan kubu kuat selama ini mereka berjaya ditawan oleh BN.

Selepas 2 tahun berlalunya PRU-10 dan PAS masih mencanang agenda mereka iaitu pembentukan negara Islam. PAS pantang 'dicuit' oleh BN, terus melatah. DAP mula hilang sabar dengan sikap PAS yang mula angkuh, membuat kenyataan/keputusan tanpa berbincang terlebih dahulu dengan rakan rakan dalam BA, mereka telah bertindak keluar daripada BA.

Bermulanya Era PAS Hadi

Pada 23 Jun 2002, negara dikejutkan dengan kematian Presiden PAS, Ustaz Fadhil Noor. Bermula dari situ, PAS telah diketuai oleh Timbalan Presidennya iaitu Haji Hadi Awang, maka bermulah era 'PAS Hadi'. Amat jauh perbezaannya semasa PAS dibawah pimpinan Almarhum Ustaz Fadhil Noor.

Kesilapan lalu tidak dijadikan iktibar. Lihatlah buktinya semasa Terengganu dibawah pemerintahan kerajaan PAS Hadi. Beliau seolah-olah tidak mahu mendengar pendapat dari orang lain, kecuali individu terpilih sahaja.

Biarpun baru beberapa hari menjadi kerajaan Terengganu, PAS Hadi mahu mendahului kerajaan PAS Kelantan dalam melaksanakan hukum Hudud. Pada masa itu, ramai yang menegur cara PAS Hadi gunakan itu akan membawa padah kepada parti mereka.

Namun, PAS Hadi tidak mengendahkannya dan tetap meneruskan cara mereka. Hasil daripada itu, pada PRU-11 kerajaan PAS Hadi telah ditolak oleh rakyat Terengganu. Saat-saat manis Kerajaan PAS Hadi cuma sepenggal sahaja.

PKR juga turut sama dihukum oleh rakyat dengan hanya 1 parlimen yang mampu bertahan iaitu Permatang Pauh. Lain pula DAP. Langkah keluar dari BA adalah tepat. Mereka berjaya merampas kembali kerusi-kerusi mereka daripada BN.

Apabila PR mula diberi kepercayaan oleh rakyat bermula dengan keputusan PRU-12 dimana kemenangan majoriti 2/3 BN sebelum ini telah berjaya dinafikan oleh PR, PAS Hadi masih mengulangi kesilapan lalu. PAS Hadi kerap kali mengeluarkan kenyataan 'melawan arus' yang telah menampakkan keUMNOwan mereka terutama sekali apabila menjelang satu-satu PRK.

Ahli-ahli PAS terkenal dengan apa yang dipanggil wala' (kesetiaan kepada pemimpin) tanpa menilai samada ketua mereka layak atau tidak untuk diberikan kesetiaan. Ini kerana Hadi sentiasa menegaskan bahawa Islam mewajibkan pegikut patuh dan taat kepada ketua mereka.

Sehinggalah Mursyidul Am PAS, TGNA menghuraikan didalam blognya yang telah membawa kepada saranan supaya EGM perlu diadakan demi menjaga parti Islam itu menerima nasib yang sama semasa menghadapi PRU-11 lalu. Antara ringkasannya berbunyi:-

"setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini".

Seingat saya, isu penggabungan PAS Hadi/UMNO bermula semasa Pak Lah masih menjadi PM lagi. Perbincangan sulit ini terbongkar apabila Pak Lah membuat kenyataan kepada media dengan mengatakan bahawa "rundingan mengenai penggabungan antara PAS Hadi/UMNO sudah berada diperingkat akhir". Sebelum itu, telah kedengaran cerita mengenai pertemuan antara PAS Hadi/UMNO, namun Hadi dan kucu-kucunya tetap menafikannya.

Pada masa itu, Hadi dan kuncu-kuncunya mahu tidak mahu, terpaksa mengaku, tapi dengan berbagai alasan yang memeningkan rakyat. Kalaulah Pak Lah tidak berbuat demikian, mungkin PR telah menjadi tempang dan PAS Hadi/UMNO telah menjadi kerajaan yang tidak direstui rakyat.

Terbaru, Hadi dan kuncu-kuncunya menafikan apa yang telah dinyatakan oleh TGNA. Mereka mengatakan tidak wujud krisis (2 kumpulan dalam PAS) seperti yang diwar-warkan oleh TGNA.

Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali berkata mesyuarat terpaksa diadakan atas arahan Presiden dan juga kononnya untuk memperbetulkan tanggapan serong. Apakah mereka menganggap TGNA sengaja mengada-adakan cerita (berbohong)?.

Maka semalam telah berlangsungnya mesyuarat khas dengan terhasilnya keputusan yang amat mengecewakan kebanyakan rakyat yang bersungguh-sunguh mahu melihat PR berjaya mengambil alih tampok pemerintahan daripada UBN.

Kita mengharapkan satu keputusan yang mampu membasmi penyakit 'jelmaan UMNO' daripada merebak dalam PAS. Saranan TGNA harus diterima. Perubahan dalam saf-saf penting diperingkat pimpinan pusat harus dilakukan. Namun, mengikut keputusan mesyuarat itu, ianya sukar untuk dilakukan selagi PAS....................

29 October 2009

Keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pusat

Tunggu punya tunggu, pada jam 1.00 pagi sidang media keputusan mesyuarat khas diadakan. Presiden PAS telah mengumumkan parti berkenaan akan mengadakan satu seminar khas yang bakal disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 Disember ini bagi membincangkan halatuju parti bagi menggantikan muktamar khas yang dicadangkan oleh TGNA.

Mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor. Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan isu Kerajaan Perpaduan ditutup sepenuhnya dan tidak akan berbangkit lagi.

28 October 2009

Risiko Muktamar Khas Luar Biasa...

Pucuk pimpinan PAS dijangka bakal menggagalkan Muktamar Khas Luar Biasa yang menyaksikan pertembungan langsung di antara dua aliran dalam PAS, sebelum ia diadakan. Malah, tindakan Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk memanggil agar muktamar tersebut diadakan, berdepan dengan risiko bahawa golongan "Erdogan" mungkin tewas sehabis-habisnya

Demikianlah pandangan penganalisa politik terhadap "Muktamar Khas Luar Biasa" (EGM) yang dicadangkan melalui blog Nik Abdul Aziz. Cadangan mengejut ini diutarakan apabila beliau gusar melihat perbezaan ala perjuangan yang semakin ketara antara dua aliran dalam parti. Maka, EGM ini dilihat sebagai jalan untuk menyelesaikan kemelut ini buat selama-lamanya.

Farish Noor (gambar kanan), ahli akademik yang mengkaji Islam ketika ditemuramah MerdekaReview berkata, "Saya melihat EGM ini menunjukkan betapa terdesaknya keadaan dalam PAS. PAS kini menyedari bahawa ia mungkin kehilangan apa yang dimenanginya pada tahun lalu. EGM ini diadakan untuk menunjukkan bahawa PAS masih komited terhadap Pakatan Rakyat (PR)

"Tetapi, ia mungkin berakhir dengan keadaan sebaliknya. Bukan senang untuk menyingkirkan pemimpin seperti Hadi Awang (Presiden PAS), malah pemimpin seperti Hasan Mohd Ali pun disenangi. Oleh itu, senario yang paling menakutkan ialah, Hadi dan Hasan menang.

"Jadi, apa seterusnya? Adakah ini bermaksud golongan pro-UMNO meraih sokongan? Nik Aziz memperjudikan segala-galanya di sini," jelas Farish Noor.

Walau bagaimanapun, Bridget Welsh, Profesor Madya di Singapore Management Universiti meramalkan PAS akan membincangkan isu ini secara tertutup, dan tidak akan menjadikannya sebagai "isu awam".

Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview, Bridget membaca tindakan Niz Aziz ini bertujuan untuk mendapatkan sokongan, kerana sokongan terhadapnya berasal daripada perwakilan parti, akar umbi dan orang di luar parti, dan bukannya barisan pimpinan. Namun, tindakan Niz Aziz membuat kenyataan terbuka juga mendedahkan kenyataan bahawa "mekanisme dalaman" tidak berkesan.

EGM bakal selesaikan masalah sewenang-wenangnya?

Golongan "pro-UMNO" (berkecendrungan untuk bekerjasama dengan UMNO) yang diketuai Hadi Awang telah menang dalam pemilihan parti Jun lalu. Walaupun golongan yang dilabelkan sebagai "Erdogan" turut menempah hampir separuh kerusi dalam AJK PAS Pusat, namun jawatan tertinggi masih dikuasai golongan Hadi. Golongan "pro-PR" yang diterajui Nik Aziz gagal meluaskan pengaruhnya.

Dua pilihan raya kecil selepas pemilihan parti, iaitu DUN Manek Urai dan DUN Bagan Pinang memperlihatkan bagaimana perbezaaan halatuju dan strategi antara kedua-dua aliran ini mengakibatkan mekanisme kempen tidak memberi kesan seperti yang dijangkakan. Malah, kubu PAS di Manek Urai hampir ditembusi.

Di samping itu, EXCO kerajaan PR di Selangor, Hasan Mohd Ali (gambar kiri) sering kali mencungkil kontroversi yang mengundang pertikaian parti komponen PR, memberi persepsi bahawa PR gagal bekerjasama.

Tindakan Niz Aziz memanggil agar EGM diadakan boleh dibaca sebagai muktamar untuk memberi kata dua kepada halatuju dan strategi masa depan PAS. Dalam EGM ini, perwakilan perlu menentukan cara dan bentuk kerjasama antara PAS dengan PR.

Profesor Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Agus Yusoff bersetuju dengan Nik Aziz bahawa EGM bakal menyelesaikan kontradiksi dalaman parti sewenang-wenangnya. Namun, apa yang kekurangan ialah sementara Nik Aziz meminta perwakilan untuk mengkaji kedudukan sesetengah pemimpin, beliau juga harus membenarkan agar kedudukan beliau sebagai Mursyidul Am dalam Majlis Syura Ulama PAS dikaji, supaya dilihat adil.

Ketika ditemuramah MerdekaReview, Mohd Agus Yusoff berkata, seperti parti yang lain, PAS akan menyelindungi masalahnya. Kini, Niz Aziz mendedahkannya secara terbuka, menunjukkan bahawa PAS benar-benar menyedari masalah yang dihadapi partinya.

Pro-UMNO atau Pro-PR

Ketika ditanya kemungkinan tindakan Niz Aziz mengundang kritikan bahawa beliau tidak menghormati keputusan pemilihan parti, Mohd Agus Yusoff tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian, malah menganggap masalah tetap wujud selepas pemilihan parti. PAS terbahagi kepada dua, pemimpin dari golongan Pro-UMNO dan Pro-PR tetap bermasalah. Maka, jalan penyelesaian yang paling baik ialah, "biar perwakilan membuat keputuskan sekali lagi."

Sebelumnya, tindakan Nik Aziz menyelar Nasharudin Mat Isa pada 17 Jun lalu, malah mencadangkan agar Timbalan Presiden PAS ini keluar dari PAS dan menyertai UMNO juga mencungkil rasa tidak senang oleh sesetengah pemimpin PAS.

Selain itu, ketika ditanya sama ada usul dalam EGM lebih sesuai, kalau ditukar dari "menyingkirkan beberapa pemimpin" kepada "pembentukan kerajaan dengan UMNO atau tidak", Farish Noor berkata perkataan dan ayat yang digunakan ketika merangka usul adalah penting. Misalnya, "sertai UMNO atau kekal bersama PR".

Walau bagaimanapun, beliau menganggap EGM tetap berisiko walaupun usul tersebut dibentangkan.

Untuk Bridget, "bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan" tidak harus sekadar dibaca sebagai "untuk bekerjasama dengan UMNO atau tidak", tetapi menjadi lambang "halatuju dan strategi PAS".

Selepas PRU ke-12, PAS berkecenderungan untuk bekerjasama dengan PR untuk mengekalkan sokongan daripada bukan-muslim, namun tidak kurang juga yang bimbang kerjasama dengan PR bakal berakhir dengan kehilangan undi Melayu-Islam. Konsep "Kerajaan Perpaduan" (Unity Government) yang dilontarkan oleh Presiden PAS, Hadi Awang dalam Muktamar pada bulan Jun lalu, telah menyemai benih kontradiksi dalam parti.

Islam sebagai asas perjuangan PAS

Biarpun kemelut PAS kelihatan berlanjutan, namun Mohd Agus dan Bridget menganggap bahawa PAS tidak akan meretak kerana kemelut ini. Mohd Agus berkata, "pada akhirnya, rasional akan menyatukan mereka. Mereka sedar bahawa PAS adalah satu-satunya parti yang menjadikan Islam sebagai asas perjuangannya. Mereka boleh berkelahi, boleh berbeza pendapat, tetapi akan bersama semula.

Dengan ini, PAS akan menjadi lebih matang. Mengapa keretakan itu perlu ditakuti? Ada kalanya politik perlu menguruskan keretakan, menguruskan perbezaan pendapat, memandang berat hujah yang berlainan, ini namanya demokrasi. Kalau semua orang dalam parti sebulat suara, maka itu bukan politik namanya

Bridget pula menganggap masalah yang paling penting kini ialah bagaimana mereka yang berbeza pendapat dapat mencapai muafakat. Untuk ahli akademik ini, masalah yang dihadapi PAS hari ini tercetus lantaran perbezaan strategi yang digunakan oleh pemimpin dari pelbagai aliran.

"Seandainya PAS gagal menyelesaikan masalah dalaman ini secepat mungkin, maka mereka gagal mengetengahkan halatuju perjuangan yang jelas. Rakyat tidak akan percaya kepada PAS, malah pergelutan dalaman ini memberi persepsi bahawa mereka bergelut untuk kuasa."

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

(MerdekaReview)

Krisis Dalaman MCA Belum Reda

Seperti Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), "Pelan Perpaduan" turut menemui jalan buntu untuk menyelesaikan pergelutan kuasa yang berlaku dalam MCA. Timbalan Presiden Baru, Liow Tiong Lai bangkit bersama 14 orang AJK Pusat MCA yang lain, mendesak agar Presidennya, Ong Tee Keat akur kepada keputusan EGM yang diadakan pada 10 Oktober lalu.

"Pandangan mungkin berbeza, tafsiran amatlah banyak. Namun, kebenaran hanyalah satu." Demikianlah luahan Liow Tiong Lai sebermulanya sidang media yang diadakan pada hari ini, ketika mengulas selok belok antara dirinya dengan Ong. Walau bagaimanapun, Liow tetap enggan menyatakan secara jelas pendiriannya dalam isu sama ada Ong Tee Keat perlu meletak jawatan atau tidak.

Percaturan Liow bersama Ketua Pemuda Wee Ka Siong, dan Ketua Wanita Chew Mei Fun tidak sukar untuk dibaca. Semalam, Wee dan Chew masing-masing mengadakan sidang media di Parlimen, menyanggah tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka, malah mendakwa diri mereka dipersalahkan secara tidak adil

Ketiga-tiga mereka pernah dilihat sebagai anak buah Ong Tee Keat yang sehaluan dalam perjuangan, kini dilontarkan tuduhan sebagai "pengkhianat" yang tidak mengenang budi. Liow, Wee dan Chew dikatakan bersubahat untuk mendesak agak Ong mengundur diri selepas EGM, dengan harapan bahawa diri mereka berkesempatan untuk mengisi kekosongan dalam pucuk pimpinan.

Sekadar salah faham?

Semakin banyak "maklumat dalaman" terdedah berhubung keputusan Ong. Menurut versi "pemimpin lapisan muda" (Liow, Wee dan Chew) ini, Ong telah memaklumkan keputusannya untuk meletak jawatan selepas undi tidak percaya terhadapnya diluluskan. Malah, Ong telah mengarahkan Chew Mei Fun dan Hou Kok Chung (AJK MCA merangkap Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) untuk merangka surat perletakan jawatannya.

Walaupun ada AJK yang berpandangan bahawa Presiden tidak perlu undur, kerana ia sekadar "undi tidak percaya", dan bukannya usul "pelucutan jawatan Presiden" yang diluluskan dengan majoriti dua pertiga. Namun, Ong tetap berkeras untuk meletak jawatan, malah menolak tawaran AJK untuk memujuk agar beliau terus memimpin MCA.

Justeru itu, pertikaian berlaku apabila adegan ini diulas dengan versi yang lain, iaitu kononnya mereka bersubahat untuk menggulingkan Ong. Untuk Ong, beliau mengeluh kerana dikhianati oleh mereka yang tidak sabar untuk mendaki ke puncak kuasa; sementara pemimpin lapisan muda seperti Liow, Wee dan Chew mendakwa "darah menitis dalam hati" mereka kerana dilemparkan tuduhan yang liar.

Malah, ada yang mengibaratkan tindak-tanduk AJK (yang diketuai Liow) ini sebagai "sudah rebut pusaka biarpun mayat Ong belum sejuk"; dan "diperbetulkan" pula dengan "sudah rebut pusaka biarpun Ong belum menghembuskan nafas terakhir". Ibarat sedemikian menonjolkan betapa gelojohnya pemimpin lapisan muda ini ketika berdepan dengan kuasa.

Namun, pemimpin lapisan muda ini cuba membersihkan nama mereka, dengan mendedahkan "kebenaran" mengikut versi mereka, iaitu Ong tidak berani untuk mengaku bahawa dirinya telah menukar pendirian asalnya untuk meletak jawatan.

Pelan perpaduan tanpa restu AJK

Bagaimanapun, babak tersebut telah melabuh tirai, walaupun diulas dalam pelbagai versi. Persoalan kini timbul apabila Liow mendedahkan bahawa dirinya tidak mengetahui apa-apa berkenaan kandungan terperinci "Pelan Perpaduan" yang diumumkan. Beliau tidak terlibat dalam rangkaan pelan tersebut, malah tidak tahu bahawa Chua Soi Lek akan menjelma dalam sidang media pada 22 Oktober.

Liow dengan 14 AJK sebagai bentengnya, kini menuntut agar Ong Tee Keat menghormati keputusan EGM pada 10 Oktober, dan mengkaji semula Pelan Perpaduan tersebut. Chew Mei Fun secara terus-terang mengaku bahawa semua AJK terkilan kerana Presiden tidak pernah berunding dengan mereka berhubung pelan ini.

Malah, Wee Ka Siong menambah bahawa "perpaduan" tidak harus terbatas kepada "perpaduan satu atau dua orang pemimpin sahaja", namun perlu wujud di kalangan 930 ribu orang ahli, bermula dari AJK.

Kata-kata sedemikian bukan sekadar "pandangan", apabila berkemungkinan besar disusuli dengan tindakan. 15 orang AJK pusat kini menuntut agar mesyuarat dipanggil, supaya Presiden memberi perjelasan kepada mereka berhubung Pelan Perpaduan, dan keputusannya untuk undur atau tidak.

Retakan bermula...

Jelas, hubungan antara Ong dengan (bekas) anak buahnya semakin meretak. Kebimbangan mereka senang difahami, apabila melihat kepentingan mereka mungkin terjejas lantaran kompromi antara Ong dengan Chua. Mereka yang kecundang dalam PRU ke-12 tetapi diberikan jawatan dalam kerajaan seperti Chew Mei Fun mungkin gusar seandainya kabinet dirombak pada masa terdekat ini.

Desas-desus tersebar luas bahawa Wee Ka Siong mungkin kehilangan jawatan Timbalan Menteri Pelajaran seterusnya, berikutan "pengkhianatan" terhadap Ong. Orang rapat Chua akan diberi tiket untuk menyandang jawatan dalam kerajaan mahupun dalam parti.

Dengan kata lain, Pelan Perpaduan dengan ironinya menyatukan dua orang yang bermusuh, iaitu Ong dengan Chua, di samping memecah-belahkan antara Ong dengan anak buahnya, seperti Liow Tiong Lai, Wee Ka Siong dan Chew Mei Fun. Persoalan seterusnya, mampukah mereka yang tersisih dari Pelan Perpaduan ini melakukan sesuatu?

"Masa depan sukar diramalkan". Ayat ini juga terkeluar dari mulut Liow dalam sidang media hari ini.

*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview edisi bahasa Cina dan Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview edisi bahasa Melayu.

(MerdekaReview)

Syabas Tok Guru

Hari ini merupakan hari penting bagi parti PAS dimana mereka akan mengadakan mesyuarat khas ekoran daripada saranan TGNA supaya parti berkenaan mengadakan EGM. Semalam Salahuddin Ayub yang mewakili pihak TGNA telah membuat kenyataan bahawa TGNA tidak dapat hadir pada mesyuarat berkenaan.

Saya sendiri mula merasa risau, apakah TGNA hanya berseorangan dalam membuat tindakan demi menjaga parti Islam ini? Kumpulan Pro-UG pula pasti akan bergembira sekiranya TGNA tidak hadir pada mesyuarat berkenaan.

Walau bagaimanapun hari ini, Tok Guru kesayangan kita telah berubah fikiran akan menghadiri mesyuarat yang penting itu. Syabas Tok Guru....

Blog sayap UMNO iaitu Unit Media Baru Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pula telah menulis seakan semua ini sudah dijangkakan oleh kumpulan Pro-UG dan UMNO sendiri. Kumpulan Pro-UG akan menyingkirkan TGNA dan penggabungan PAS/UMNO akan benar-benar berlaku.

Blog berkenaan memberitahu bahawa isu kerajaan Perpaduan PAS/UMNO sebenarnya telah di bincangkan oleh seluruh pimpinan atasan PAS, kecuali TGNA tiada dalam perbincangan berkenaan. Pimpinan Pas telah sebulat suara untuk keluar dari PR yang nampaknya sudah lari dari konsep asal mereka. campur Tangan Anwar dalam banyak isu juga telah membuatkan PAS meluat dalam pakatan ini.

Mungkin inilah puncanya pemimpin yang telah disenaraikan oleh Tok Guru baru-baru ini sentiasa mengeluarkan kenyataan yang 'melawan arus'. Fikiran mereka telah diracun sedemikian rupa yang telah menyebabkan mereka lebih berminat berbaik dengan pihak yang tidak pernah 'insaf' akan kesilapan yang telah mereka lakukan. Suara rakyat tidak diendahkan.

Sekiranya apa yang ditulis dalam blog berkenaan benar-benar berlaku, apa akan jadi dengan keadaan politik dalam negara kita? Apakah ianya akan kembali tenang, ataupun akan menambah kekalutan?

27 October 2009

TBH: Keluarga Fail Permohonan Gali Kubur Mendiang

Peguam Gobind Singh Deo memfailkan permohonan menggali semula mayat Teoh Beng Hock bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan oleh ahli Patologi Thailand, Dr Porntip Rojanasunan. Gobind berkata ini bertujuan bagi mencari kebenaran disebalik penemuan Dr Pornthip 20 Oktober lalu.

“Keluarga Teoh Beng Hock telah memfailkan satu permohonan di Mahkamah Shah Alam hari ini, permohonan ini bertujuan supaya mayat Teoh Beng Hock dikeluarkan semula daripada tanah untuk tujuan kami bedah siasat semula untuk mendapatkan pendapat kedua daripada Dr Pronthip, kerana beliau telah memberi alasan-alasan yang cukup jelas bagi menyokong permohonan ini ,”katanya.

Dr Pornthip menemui kesan cekik pada leher serta kesan tusukan pada dubur mangsa. Pakar patologi Thailand itu juga mendapati kesan retak pada tengkorak mangsa tidak konsisten dengan impak akibat jatuh dari tempat tinggi.

“Selepas kematian Beng Hock beliau telah dibedah siasat oleh dua orang pakar forensic iaitu Dr Khairul dan Dr Prasant kedua-duanya mewakili kerajaan. Gambaran yang dikemukakan cukup jelas menunjukkan seolah-olah ada anggota yang terkecuali dari pemeriksaan. Khususnya leher,dan kawasan belakang sebab apabila Dr Pronthip ke mahkamah beliau memberi keterangan yang cukup jelas bahawa beliau menggunakan gambar yang diambil oleh kerajaan Malaysia,” jelasnya.

Hasil siasatan Dr Pornthip menyimpulkan bahawa ada 80 peratus kemungkinan Teoh Beng Hock mati dibunuh, dan kesan-kesan kecederaan dialami semasa mangsa hidup.

“Beliau mendapati daripada gambar-gambar itu terdapat kesan lebam di kawasan leher, satu pemeriksaan dibawah kesan tersebut ada terdapat pendarahan dan ini tidak konsisten dengan tekanan dan jika lihat dikawasan leher tekanan yang berbentuk jari yang menunjukkan Teoh Beng Hock telah dicekek. Selain daripada itu beliau juga menunjukkan keraguan dengan kecederaan di bahagian belakang, kita meminta kepada Tuan Koroner agar memberi peluang kepada Dr Pornthip melihat secara sendiri,”katanya lagi.

Teoh Beng Hock merupakan setiausaha politik kepada Exco Selangor, EAN Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, selepas disoal-siasat 10 jam tanpa henti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beng Hock dipanggil sebagai saksi dalam operasi besar-besaran SPRM terhadap kerajaan negeri Selangor.

(TVS)

DUN Kelantan Lulus Kenaikan Elaun

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan bagi membolehkan elaun wakil rakyat, termasuk Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), dinaikkan selepas kali terakhir ia dinaikkan pada 2004.

Rang Undang-undang itu meminda Enakmen Saraan anggota pentadbiran kerajaan negeri dan anggota Dewan Undangan Negeri 1980, dicadangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Perpaduan Masyarakat, Datuk Anuar Tan Abdullah.

Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan sebulat suara oleh semua 45 anggota dewan, termasuk enam anggota pembangkang dalam persidangan DUN yang masuk hari ketujuh, hari ini.

Dengan kelulusan enakmen itu, elaun bulanan Menteri Besar dinaikkan daripada RM10,200 kepada RM12,800, Timbalan Menteri Besar (RM6,600 kepada M8,800), Speaker (RM5,400 kepada RM5,600) dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) (RM3,600 kepada RM4,600).

Ketika membentangkan rang undang-undang itu, Husam berkata kadar elaun wakil rakyat itu sememangnya wajar dinaikkan kerana ia sudah lama tidak dipinda.

"Kenaikan itu juga bersesuaian dengan tugas dan peranan yang dimainkan oleh wakil rakyat yang semakin luas serta kos sara hidup yang semakin tinggi," katanya.

Husam berkata kenaikan itu masih kecil jika dibandingkan dengan wakil rakyat negeri lain yang sudah lama menikmatinya.

Langkah kerajaan negeri menaikkan elaun itu juga bukan berasaskan kepada desakan atau permintaan mana-mana pihak, tetapi ia suatu keperluan, katanya -- BERNAMA

TGNA Tidak Mahu PAS “Di Hukum” Seperti PRU-11

Pilihanraya Umum (PRU) ke 10 pada tahun 1999 menyaksikan PAS meraih keuntungan dari gerakan Reformasi dimana negeri Terengganu Berjaya dirampas, negeri Kelantan dipertahankan dan dikalangan Barisan Alternatif yang terdiri dari PAS, Parti Keadilan Nasional (PKN), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), PAS memenangi paling banyak kerusi parlimen.

Arwah Ustaz Fadhil Noor ternyata bijak berpolitik apabila beliau terus mendekatkan dirinya dengan sahabat lama, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru sahaja dipecat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau juga telah dilantik menjadi Ketua Pembangkang Malaysia dan merupakan satu peristiwa yang bersejarah kerana sebelum itu, jawatan tersebut dipegang oleh DAP.

Pada ketika gerakan Reformasi memuncak dan demonstrasi demi demosntrasi dianjurkan untuk mendesak Dr. Mahathir meletakkan jawatan, akhbar Harakah, lidah kepada parti PAS laris dan laku dijual dipasaran.

Peristiwa bersejarah itu juga telah menjalinkan hubungan diantara aktivis-aktivis PAS dengan aktivis-aktivis Reformasi dan NGO yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Perhubungan tersebut telah menyebabkan persefahaman timbul diantara mereka. Aktivis-aktivis Reformasi dan NGO mula memahami aktivis-aktivis PAS dan begitulah sebaliknya. Hubungan mesra ini terjalin dan sikap tolenransi timbul oleh kerana objektif yang satu, menjatuhkan kerajaan yang zalim.

Apabila kerajaan Dr. Mahathir merampas royalti minyak milik negeri Terengganu yang dipimpin oleh Dato Seri Abdul Hadi Awang pada ketika itu, aktivis-aktivis Reformasi dan NGO turut turun bersama-sama dengan aktivis-aktivis PAS berdemonstrasi untuk mempertahankan “harta” milik rakyat Terengganu itu.

Semuanya dilakukan untuk memastikan negeri yang baru sahaja diambil oleh “rakyat” itu dapat dipertahankan.

Kesombongan dan kebodohan “membunuh” Umno yang pada ketika itu gusar oleh kerana kehilangan sokongan daripada pengundi-pengundi Melayu sewaktu PRU 1999 telah menimbulkan isu perpaduan dengan PAS.

Pada ketika itu, debat agar Melayu bersatu ditimbulkan. Tidak banyak bezanya dengan Muzakarah atau Muqabalah selepas PRU 2008. Kemuncaknya ialah apabila Presiden Umno, Dr. Mahathir dan Presiden PAS, Arwah Ustaz Fadhil Noor berjaya dinaikkan diatas satu pentas dalam isu Palestin. Nasharuddin Mat Isa yang kini Timbalan Presiden PAS adalah Setiausaha Politik kepada Presiden PAS pada ketika itu.

Walaupun kedua-dua presiden parti Umno dan PAS bersama-sama dalam isu Palestin, signal yang ingin disampaikan kepada pengundi-pengundi bukan Melayu ialah “Melayu” tetap bersatu.

Peristiwa 11 September 2001 telah memberikan keuntungan yang besar kepada Umno. Terutamanya dalam memberikan imej “Militan” kepada PAS kepada pengundi-pengundi bukan Melayu.

Abdul Hadi Awang yang mengambil alih jawatan Presiden PAS selepas meninggalnya Arwah Ustaz Fadhil seakan-akan memberikan “vitamin” kepada Umno apabila mengeluarkan dokumen negara Islam.

Tindakan Abdul Hadi telah mendorong DAP keluar dari Barisan Alternatif. Ini telah menyebabkan Umno dan Barisan Nasional (BN) bersorak kegembiraan.

Peristiwa-peristiwa seperti ini menambahkan lagi ketakutan rakyat bukan Melayu dan Melayu terhadap PAS. Insiden-insiden yang berlaku sepanjang 1999-2004 telah menyebabkan “hukuman besar” diberikan oleh pengundi-pengundi kepada Barisan Alternatif.

Desakan dalaman Umno telah menyebabkan Dr. Mahathir meletakkan jawatan. Tindakan ini adalah tindakan yang tepat. Sebagai hasilnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan Dr. Mahathir telah berjaya menang besar dalam Pilihanraya Umum 2004. Malahan dikatakan kemenangan terbesar yang pernah dicapai oleh BN.

DAP yang mengambil tindakan yang tepat apabila keluar dari Barisan Alternatif sebelum PRU 2004 telah berjaya memenangi kembali kerusi-kerusi yang mereka kalah dalam PRU 1999 dan Lim Kit Siang kembali menjadi Ketua Pembangkang. Parti Keadilan hanya berjaya memenangi satu kerusi iaitu di Permatang Pauh, kerusi tradisi Dato Seri Anwar Ibrahim.

Nik Aziz dan “geng perpaduan”

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat adalah penentang utama kepada idea-idea penubuhan kepada kerajaan perpaduan diantara PAS dan Umno.

Idea ini adalah kesinambungan daripada apa yang berlaku selepas PRU 1999. Idea ini timbul kembali selepas PRU 2008. Malahan watak-watak yang terlibat selepas PRU 1999 turut memainkan peranan besar pada ketika ini.

Nik Aziz yang telah berada dalam PAS sewaktu parti tersebut menyertai Barisan Nasional selepas 13 Mei 1969 dahulu tahu akan permainan atau “trick lama” ini. Sudah pastilah beliau tidak mahu pisang berbuah dua kali. Sebab itulah beliau menentang keras cadangan untuk “berpadu” dengan Umno.

Beliau lebih percaya PAS mempunyai masa depan yang cerah bersama Pakatan Rakyat berbanding bekerjasama dengan Umno.

Terbaru Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mencadangkan agar muktamar khas diadakan oleh parti tersebut untuk membincangkan mengenai pemimpin-pemimpin yang bermasalah termasuk presidennya, Abdul Hadi Awang.

“Bila mesyuarat agung (Jun lalu) tidak mahu tukar presiden (Abdul Hadi), misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah.

“Begitu juga dengan isu-isu di sekitar Hassan atau Mustafa yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan perpaduan atau UG (unity government).

“Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ini?” kata Nik Aziz dalam blognya beberapa hari lalu.

Tulisan Nik Aziz dalam blognya adalah respon kepada analisis Dr. Aziz Bari, ahli akademik Universiti Islam Malaysia (UIA) yang mengaitkan kemerosotan undi PAS di Bagan Pinang baru-baru ini dengan permasalahan yang ditimbulkan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Hassan Ali dalam isu “beer” dan Selcat.

Dr. Aziz turut mengkritik Abdul Hadi sebagai Presiden PAS kerana tidak bersuara apabila kekecohan ditimbulkan oleh pemimpin PAS dinegeri Selangor dan menyamakan pemimpin tersebut dengan Tun Abdullah Badawi ketika memimpin Umno yang seringkali berdiam diri apabila anak-anak buahnya membuat “onar”.

Dr. Aziz turut berpendapat bahawa sudah tiba masanya Hassan Ali disiplinkan tetapi turut mengakui ianya sukar dilakukan oleh kerana Pesuruhjaya PAS tersebut disokong kuat oleh pemimpin PAS Pusat seperti Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung.

Langkah terakhir Mursyidul Am untuk selamatkan PAS

Dalam muktamar khas yang dicadangkan, Mursyidul Am PAS menekankan keperluan kepada proses pemilihan yang ringkas, telus, dan melindungi kerahsiaan undi.

Selain daripada itu, beliau turut mencadangkan agar muktamar khas itu diadakan selama sehari atau dua hari mengikut kepada keperluan.

Kenyataan “radikal” menteri besar Kelantan itu adalah mengambil kira sentimen pengundi-pengundi muda dan bukan Melayu terhadap PAS. Ramai yang menyokong PAS kerana gagasan “Negara Berkebajikan” yang “dijual” semasa kempen PRU 12 bertukar menjadi “Unity Government”.

Dosa-dosa pemimpin PAS seperti Hassan Ali yang bertemu dengan pemimpin Umno selepas 8 Mac masih belum lagi dimaafkan oleh pengundi-pengundi yang memenangkan PAS terutamanya bagi pengundi-pengundi atas pagar dan bukan Melayu.

Hati mereka dirobek lagi apabila Hassan Ali “membuat kacau” dalam pentadbiran negeri Selangor yang seharusnya menjadi contoh pemerintahan Pakatan Rakyat.

Ini ditambah lagi dengan tindakan Pemuda parti tersebut yang tidak habis-habis “melawan konsert” berbanding dengan melawan rasuah dan penyelewengan harta rakyat.

Cadangan Nik Aziz ini dilihat sebagai langkah terkahir untuk menyelamatkan parti tersebut daripada “dihukum” oleh pengundi dalam PRU akan datang. Beliau pastinya tidak mahu lagi melihat “peristiwa PRU 2004” berulang kembali dimana undi dan sokongan kuat kepada Pakatan Rakyat beralih 360 darjah kembali kepada BN.

Ini tidak mustahil berlaku jika PAS tidak sanggup mengorbankan pimpinan tertinggi mereka yang disokong kuat oleh akhbar Utusan Malaysia sebelum pemilihan agung bulan Jun lalu.

(AIC)

Tidak Perlu EGM Ganti Pemimpin: Azizan

Seseorang pemimpin Pas yang tidak disukai boleh diganti tanpa melalui Muktamar Khas (EGM). Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, proses penggantian sebaliknya boleh diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat sahaja, seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Atas sebab itu, Pas Kedah berpendirian bahawa EGM tidak perlu buat masa ini, dan yang perlu diadakan hanyalah mesyuarat jawatankuasa Pusat," kata Menteri Besar Kedah itu.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah turut menyanggah kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa wujudnya perpecahan serius dalam Pas susulan kenyataan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu diadakan EGM bagi menyingkir tiga pemimpin kanan parti itu yang dikatakan bermasalah.

Sebaliknya, kata Azizan, apa yang berlaku hanyalah perbezaan pendapat yang disuarakan oleh beberapa kepimpinan tertinggi parti itu, dan isu itu tidak sedikitpun memecah-belahkan perpaduan dalam Pas.

“Biasalah dalam parti mana pun, kepimpinan tertinggi menghadapi perbezaan pendapat. Namun kita bukannya berdepan dengan masalah pun, saya pun tidak pasti apa puncanya sehingga timbul kemelut ini, sebab dalam Pas tidak ada masalah pun,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri di Institut Pendidikan Guru (IPDA) Kampus Darulaman, semalam.

Menurutnya, tidak wujud dua kumpulan dalam parti itu seperti yang didakwa, dan berikutan itu, tiada keperluan untuk mengadakan EGM.

“EGM hanya untuk menyelesaikan isu-isu besar sahaja, tetapi Pas hanya berdepan dengan isu perbezaan pendapat, namun masalah ini tidak sama dengan MCA yang berdepan dengan masalah kepimpinan manakala UMNO pula meminda perlembagaan parti,” katanya.

Najib dalam satu kenyataan kelmarin berkata, percanggahan dalam Pas semakin serius sehingga timbul dua kumpulan dalam parti itu, iaitu satu mahu bekerjasama dengan UMNO dan satu kumpulan lagi sebaliknya.

Azizan berkata, dakwaan wujudnya pihak ketiga yang cuba melaga-lagakan saf kepimpinan parti itu dengan menimbulkan semula isu pemimpin Pas pro-UMNO tidak dapat dipastikan.

“Saya sendiri tidak pasti sama ada didalangi pihak ketiga atau kemungkinan Tok Guru kecewa dan meluahkan pendapat peribadinya kerana tertekan dengan serangan peribadi yang dilemparkan terhadapnya. Saya tidak menyalahkan Tok Guru dengan tindakannya itu,” katanya.

Beliau juga meminta semua pihak bersabar dan menunggu keputusan yang akan diambil oleh Ahli Jawatankuasa Pusat yang akan bermesyuarat Rabu ini bagi menyelesaikan isu EGM.

(SinarHarian)

TGNA Bakal Di Tentang Kumpulan Pro-UG?

Sebelum bermulanya Muktamar PAS pada Jun yang lalu, telah kedengaran cerita mengenai wujudnya 2 kumpulan dalam PAS. Satu kumpulan yang sanggup untuk bergabung dengan pihak yang ditentang habis-habisan sebelum ini iaitu UMNO atas nama 'kerajaan perpaduan'(Pro-UG).

Satu kumpulan lagi tetap berpegang teguh kepada prinsip parti yang tidak bersetuju akan penggabungan PAS/UMNO selagi UMNO tidak mengubah dasar parti mereka yang jelas bertentangan dengan dasar PAS yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangan. Kumpulan Pro-UG menggelarkan kumpulan ini sebagai kumpulan Erdogan. Apabila ditanya, semua pemimpin tertinggi PAS menafikan wujudnya 2 kumpulan dalam PAS.

Selepas kerajaan UBN menerima tamparan daripada PR pada PRU-12, kumpulan Pro-UG telah mula beroprasi secara 'senyap-senyap'. Pemimpin-pemimpin UMNO telah memainkan peranan mereka 'disebalik tabir' dalam usaha supaya PAS keluar meninggalkan PR dan bersetuju untuk bergabung dengan mereka. Pada masa itu kumpulan berkenaan belum lagi menunjukkan minat untuk menerima 'tawaran' dari UMNO.

Mungkin juga bermula dari situ dengan pelbagai tawaran 'hebat' telah diperagakan oleh UMNO kepada kumpulan Pro-UG, maka kumpulan berkenaan semakin berminat dan mula mengumpul kekuatan mereka dengan menjalankan dakwah kepada ahli-ahli mereka supaya dapat terima tawaran daripada UMNO demi kepentingan ?????.

Kumpulan ini telah berani bertindak pertama kalinya semasa DSAI sedang sibuk untuk menjayakan visi beliau yang dikenali sebagai '16 September'. Pemimpin tertinggi PAS telah menyindir DSAI dengan mengumpamakan DSAI sebagai 'PM Mat Jenin' dalam buletin utama TV3 Suku.

Bermula dari situ, berbagai kenyataan yang 'melawan arus' telah mula keluar dari mulut pemimpin-pemimpin PAS yang berkenaan. Pada awalnya, kumpulan Pro-UG belum lagi berani menyatakan hasrat mereka untuk bergabung dengan UMNO ke pengetahuan rakyat. Mungkin mereka sedar kebanyakan rakyat tidak bersetuju untuk menerima penggabungan antara PAS/UMNO yang selama ini telah banyak melakukan 'kerosakan' dan ianya 'wajib' dijatuhkan.

Semasa Muktamar PAS baru-baru ini kumpulan Pro-UG telah berjaya menguasai majoriti kerusi pimpinan tertinggi PAS. Banyak perkara yang meragukan telah berlaku sepanjang Muktamar berlangsung. Kedengaran cerita mengenai ada individu yang berkaitan dengan UMNO telah menaja tempat penginapan beberapa pemimpin tertinggi PAS.

Ada perwakilan yang mempersoalkan tindakan PAS menerima tajaan sebuah syarikat besar untuk menjayakan muktamar berkenaan iaitu Syarikat Puncak Niaga sedangkan sebelum ini syarikat berkenaan bertegang urat dengan kerajaan PR Selangor dalam isu air.

Apabila Mursyidul Am PAS, TGNA dengan beraninya menyarankan supaya satu EGM diadakan demi untuk menjaga parti berkenaan, barulah antara mereka merasakan kumpulan mereka terancam. Mungkin mereka tidak menduga TGNA berani mengeluarkan pendapat seumpama itu. Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali dinamakan TGNA sebagai penghakis kewibawaan PAS.

Ekoran daripada saranan TGNA, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat akan bermesyuarat pada 28 Oktober ini bagi membincangkan kewajaran muktamar itu diadakan. Mesyuarat berkenaan belum lagi berlangsung, Mustafa Ali telah menafikan dengan berkata tiada krisis dalam parti seperti yang diwar-warkan oleh TGNA.

Terbaru, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub telah mengesahkan bahawa TGNA tidak akan menghadiri mesyuarat berkenaan kerana terpaksa memberi tumpuan kepada sidang DUN Kelantan.

Dengan ketiadaan TGNA pada mesyuarat berkenaan, apakah agenda yang akan mereka bincangkan, sedangkan antara mereka merupakan satu kumpulan yang telah berjaya 'diatur' pada Muktamar yang lepas? Apakah ianya akan bertukar kepada agenda untuk menjatuhkan TGNA kerana bagi mereka TGNA adalah penghalang?

Pendapat daripada TGNA supaya PAS mengadakan EGM ini amat bermakna kepada rakyat yang mahu melihat PR berjaya didaftarkan secara rasmi untuk berada dibawah satu bendera dan berjaya mengambil-alih Putrajaya daripada UBN.

Sesuatu yang janggal bagi saya sekiranya UMNO benar-benar 'insaf' dan telah kembali kepangkal jalan. Apa yang digembar-gemburkan tidak kira dipihak PAS yang menyokong UG dan UMNO kononnya gabungan ini demi kepentingan itu dan ini, semuanya palsu....

Pro Reform menyokong penuh saranan daripada TGNA. Ini membuktikan bahawa PAS yang mempunyai Mursyidul Am sehebat TGNA yang juga merupakan Ketua Kerajaan Negeri Kelantan tetap berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti mereka. Walapun TGNA sudah berumur, pemikiran beliau jauh lebih 'genius' dan kehadapan jika nak dibandingkan dengan mereka-mereka yang tak habis-habis buat hal dalam PAS.

Kesimpulannya, UMNOlah yang akan mendapat untung dengan wujudnya situasi sebegini dalam PAS biarpun hasrat mereka untuk bergabung tidak kesampaian. Sekarang, pemimpin-pemimpin UMNO sedang rancak mengatakan bahawa PAS juga mengalami krisis dengan wujudnya 2 kumpulan dalam parti berkenaan. Maka kata mereka, PR tidak layak untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

25 October 2009

Saya Sudah Tua Untuk Di Dalangi — Nik Aziz

“Saya dah tua tak perlu jadi didalangi orang dah. Seperti yang saya katakan saya hanya hendak jaga parti saya supaya dihormati sampai bila bila. Masalah letak jawatan tu… Selagi umur saya ada, banyak lagi perkara yang belum berakhir.”

Inilah penegasan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap beberapa kenyataan kononnya bukan Nik Aziz yang membuat kenyataan agar diadakan satu mesyuarat khas untuk menukar kepimpinan partinya.

Nik Aziz menafikan tuduhan kononnya dia telah didalangi pihak tertentu dalam membuat kenyataan atau cadangan tersebut dan tindakannya itu adalah sebagai tindakan terakhirnya sebelum melepaskan jawatan.

Antara yang membuat kenyataan seolah-olah Nik Aziz hanya membuat kenyataan berdasarkan pandangan orang lain adalah Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir yang tidak percaya kenyataan itu datang dari Nik Aziz sendiri.

Harun berkata, beliau tidak percaya Nik Abdul Aziz yang menulis di dalam blog berhubung muktamar khas itu.

“Setakat ini saya masih tak percaya Tok Guru Nik Abdul Aziz buat keputusan seperti itu,” ujarnya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup Sambutan Jubli Perak Pasti Negeri Terengganu di Dewan Banat Maahad Darul Quran, Rusila, petang ini.

Katanya, walaupun perkara itu terdapat di dalam blog tok guru, namun siapa sebenarnya yang menulis tidak diketahui.

“Saya tak percaya tok guru kata. Saya rasa bukan tok guru (tulis). Saya kenal tok guru,” ujarnya.

Baginya, dengan kecanggihan yang ada sekarang, sesiapa sahaja boleh menulis dan memasukkannya ke dalam blog Menteri Besar Kelantan itu.

Kenyataan kedua-duanya membayangkan seolah-olah Nik Aziz dipergunakan oleh sesetengah pihak yang rapat dengan beliau untuk membuat kenyataan sebegitu. Yang menjadi sasaran adalah bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang dianggap sangat rapat dengan Menteri Besar Kelantan itu.

Ketika ditanya media mengenainya, Nik Aziz menegas, beliau sudah tua dan tidak perlu jadi dalang orang.

Beliau memberitahu, apa yang diluahkan tidak ubah sebagai melontarkan buah pikiran demi menjaga keluhuran parti kerana parti PAS adalah sebuah parti yang dihormati oleh seluruh masyarakat.

Dan umumpun sudah maklum bahawa PAS sebelum ini memang bertindak dalam membuat sesuatu keputusan ialah secara kolektif iaitu malaui Majlis Syura yang juga berfungsi sebagai tempat membuat dasar.

“Jadi kalau ada orang yang tidak setujupun tidak mengapa, saya tidak kecewa. Saya Cuma beri idea bila timbul sesuatu yang memaksa saya buat begitu,” katanya yang juga sedikitpun tidak merasa kesal terhadap penolakan PAS Selangor mengenai cadangan itu.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas perasmian masjid baru, masjid Nuraini di Pasir Hor, dekat sini. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithaudeen.

Semasa menjawab soalan media kemungkinan menarik balik cadangan itu atau mungkin ada pendekatan lain dalam usaha menjernihkan keadaan Nik Aziz yang juga Menteri Besar tetap bertegas tidak ada sebab untuknya menarik balik kenyataan itu kerana baginya ia adalah realiti di dalam PAS, dan juga tidak ada pendekatan lain perlu dilakukan kerana ia adalah hanya satu teguran, bukan satu perbalahan.

Dalam pada itu Nik Aziz yakin perkara yang berbangkit itu adalah bukan satu gambaran konflik dalaman membawa kepada perpecahan PAS.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berharap perkara tersebut tidak dimanipulasikan oleh semua pihak termasuk ahli PAS sendiri sebelum kenyataan rasmi parti dikeluarkan.

Selari dengan kenyataan Nik Aziz, beliau juga menafikan wujudnya perpecahan di dalam parti.

“Saya rasa tidak ada isu dalaman parti” jelasnya ringkas sambil memaklumkan akan membawa amanah Nik Aziz berhubung perkara berkenaan kepada parti samaada presiden ataupun pucuk pimpinan tertinggi parti dalam masa terdekat ini.

(MalaysianInsider)

EGM Diganti Kepada Mesyuarat Khas

Baru-baru ini Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) dalam blognya telah menyarankan agar parti berkenaan mengadakan EGM.

Hari ini Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub memberitahu bahawa isu mengadakan EGM sudah tidak berbangkit kerana TGNA sendiri yang mencadangkan forum itu ditukar kepada mesyuarat khas. Beliau berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya semasa beliau mengadakan pertemuan dengan TGNA di kediaman Menteri Besar Kelantan itu di Kota Baharu semalam.

23 October 2009

Mahkamah Tolak Bantahan DSAI

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal menghalang Mahkamah Rayuan daripada mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi agar pihak pendakwaan membekalkan dokumen berkaitan kes liwat kepada beliau.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan menolak bantahan awal Anwar bagi mengetepikan rayuan pihak pendakwaan.

Hakim Datuk Hasan Lah, yang mengetuai panel dianggotai Hakim-hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Datuk Sulaiman Daud, sebulat suara menolak bantahan Anwar itu setelah memutuskan bahawa perintah Mahkamah Tinggi berhubung permohonan pembekalan dokumen berkenaan adalah muktamad dan oleh itu boleh dirayu.

Bagaimanapun, mahkamah itu menolak permohonan Anwar melalui peguamnya Karpal Singh bagi menangguhkan prosiding rayuan sementara menunggu keputusan rayuannya terhadap keputusan hari ini (bantahan awal) di Mahkamah Persekutuan. - Bernama

PAS: Keperluan Muktamar Khas Luarbiasa?

Latarbelakang:

Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak di zaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodul "kemuncup dalam perjuangan".

Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.

Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.

i) Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.

Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi

"Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil." (Surah Al-Anfaal Ayat 67-68)

Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin di dalam Islam.

ii) Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. ditegur dengan lafaz berbunyi:

"Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1

iii) Dalam surah 'Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya." (Surah 'Abasa Ayat 1-6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr.Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Oktober 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut:

"Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan."

"Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan."

"Dengan itu mungkin sudah sampai masanya PAS membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus."

"Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka."

"Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka."

"Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak (gambar kiri) agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti."

"Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu."

"Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan."

Pandangan saya

Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini:

Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah. Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah.

Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi "tajdid" kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas; ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas. Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS di peringkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke-13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.

(Blog Tok Guru)

22 October 2009

MCA Kalah Sebelum PRU-13

2,380 perwakilan MCA diperbodohkan apabila Presidennya, Ong Tee Keat bersama bekas Timbalannya, Chua Soi Lek, dan Timbalan barunya Liow Tiong Lai berjabat tangan di depan kamera, mengumumkan untuk bekerjasama sebagai satu pasukan di bawah "pelan perpaduan".

Walaupun dinafikan oleh Ong sendiri, namun mustahil untuk "pelan perpaduan" sedemikian disempurnakan tanpa campur tangan dan tekanan daripada Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO dan BN, Najib Razak.

Kesudahan yang lebih dramatik daripada keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 10 Oktober ini, semestinya disambut dengan "sindiran" dan "kritikan" kerana segala-galanya kembali kepada titik asal, setelah pertelingkahan dan perbalahan terbuka sekian lama.

Malah, hampir semua pemimpin MCA menonjolkan wajah sebenar di depan masyarakat Cina -- saling mengkhianati kerana gelojoh kuasa, lantas menggadaikan kredibiliti pimpinan (sekiranya masih ada). Persoalannya, sejauh manakah pendamaian ini mewujudkan suasana "feel good" dalam masyarakat Cina?

Saling membaling najis

Sekali imbas, Ong sebelum ini menyifatkan Chua sebagai seorang pemimpin yang tidak bermoral, kerana tercalit dengan skandal seks. Malah, pada peringkat akhir ketika "berkempen" untuk EGM, Chua dituduh mengundang campur tangan UMNO, malah dengan berlapik Chua dikaitkan dengan Tiong King Sing, Ketua Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd yang terlibat dalam skandal PKFZ.

Selepas EGM, Ong berdepan pula dengan tekanan untuk mengundur diri kerana usul "undi tidak percaya kepadanya" telah diluluskan. Ong yang akhirnya enggan meletak jawatan mendakwa dirinya dikhianati oleh AJK pusat yang bersuhabat untuk menggulingkannya.

Selepas 10 Oktober, pelbagai berita/cerita terbongkar melalui sumber yang berlainan. Misalnya bagaimana Ong mengingkari janjinya untuk meletak jawatan, biarpun sudah memesan agar surat letak jawatannya dirangka. Malah, seorang pemimpin wanita yang dilihat sebagai orang kepercayaan Ong selama ini, telah memaki Ong dalam satu mesyuarat tertutup yang tidak dihadiri Ong.

Cerita/berita sedemikian menyarat dada media cetak bahasa Cina yang bersaing untuk mendapatkan laporan "eksklusif". Justeru itu, "satu mesyuarat tertutup" yang diadakan dilaporkan dalam beberapa "versi" mengikut siapa sumber maklumatnya. Yang paling penting, semua pimpinan tertinggi yang terlibat telah dicalitkan dengan najis yang dibaling antara satu sama lain. Ong, misalnya disifatkan sebagai ditaktor, punca kemelut MCA, "cakap tak serupa bikin", malah belum membersihkan nama sepenuhnya daripada tuduhan Tiong King Sing.

Sanggup berselimut dengan musuh?

Ironinya, Ong kini sanggup berselimut dengan "bintang filem lucah", "pengkhianat" kerana tunduk kepada tekanan UMNO, walaupun beliau cuba menampilkan dirinya sebagai pemimpin MCA yang berani untuk "menentang kuasa UMNO". Chua pula kelihatan meludah ke langit apabila sudi bekerjasama dengan "punca kemelut MCA" tanpa syarat, sementara Liow menampar muka sendiri kerana tunduk kepada Ong yang dilihat "gagal menyatu-padukan MCA" atas alasan "demi perpaduan MCA".

Malah, ada yang cuba menganalisa pergelutan Ong-Chua sebagai pergelutan dua idea, sama ada untuk memilih Ong yang menjadi lambang untuk "membanteras rasuah", atau mengekalkan "kuasa lama" seperti Chua, yang dilihat mewarisi budaya politik lama. Kini, hujah sedemikian menjadi lucu di bawah payung "perpaduan" yang ditaja Najib Razak.

Apa yang lebih dahsyat, keputusan EGM telah dinafikan begitu sahaja, walaupun "mesyuarat agung" menduduki status tertinggi dalam struktur organisasi, menurut perlembagaan MCA. Ramai yang tertanya-tanya, jikalau inilah kesudahannya, apa perlunya, atau maknanya untuk mengadakan EGM?

Pergelutan ini bukan bertemakan kepentingan rakyat sebermulanya, semakin memuakkan di pertengahannya, menjadi dramatik apabila EGM melabuh tirai, dan kini dijadikan komedi lucu yang gagal mencungkil minat audien.

Apa yang mujarab kepada UMNO...

Falsafah di sebalik jalan penyelesaian sedemikian tidak berbeza dengan apa yang berlaku di UMNO. Mungkin untuk Najib, apa yang mujarab untuk mengubati UMNO semestinya mujarab untuk MCA. Justeru itu, "formula perpaduan" dihidangkan untuk mengambil hati masyarakat Cina, sebagaimana gambar "Muhyiddin-Najib-Mahathir-Abdullah mengangkat tangan" diperbesarkan di depan akhbar untuk mewujudkan suasana "perpaduan" dalam masyarakat Melayu.

Persoalannya, apakah kemelut terbesar MCA ialah "pergelutan kuasa yang memecah belahkan perpaduan"? Perebutan kuasa hanyalah kemelut dalaman MCA, tetapi kemelut MCA yang lebih besar ketika menghadapi masyarakat Cina adalah, parti ini telah kehilangan idea untuk memimpin masyarakat Cina, malah semakin tidak relevan, bukan sahaja untuk komuniti Cina, tetapi masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Malah, Ong kini menjadi lambang pemimpin yang tidak berpegang kepada janji, Chua kekal dihantui wataknya dalam vcd seks, Liow Tiong Lai pula ditonjolkan sebagai "pengkhianat" yang tidak sabar untuk merampas kuasa. MCA dilihatkan sebagai parti yang gagal menyelesaikan masalah sendiri dan hilang "kedaulatan" kerana mengundang campur tangan UMNO, memperlekehkan keputusan perwakilan dalam EGM, dan pucuk pimpinan pula dianggap gelojoh kuasa tanpa semangat setiakawan antara satu sama lain.

Oleh itu, apabila gambar "Chua-Ong-Liow berjabat tangan" terpampang di depan mata pembaca Cina pada keesokkan harinya, ia semestinya bukan ubat untuk menyembuhkan MCA, tetapi lebih kepada racun untuk menghentikan nafas parti yang sudah berusia 60 tahun itu, mungkin sebelum PRU ke-13.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview edisi bahasa Melayu.


(MerdekaReview)

21 October 2009

TBH: Coretan Inkues Pada 21/10

80 Peratus Kemungkinan Teoh Dibunuh

Mahkamah Inkues diberitahu ada 80 peratus kemungkinan Teoh Beng Hock dibunuh. Pakar patologi, Dr Pornthip Rojanasunan mengumumkan kepada Koroner Azmil Muntapha Abbas bahawa penemuan ini dibuat berdasarkan kepada laporan bedah siasat dan gambar yang dikumpulkan dari tempat kejadian.

"Dari gambar post-mortem, saya dapati ada kesan lebam di bahagian kanan leher, yang kami (pakar patologi) panggil 'handle bruise', dan kecederaan ini selaras dengan kecederaan disebabkan cekekan," kata Dr Porntip .

Dr Pornthip adalah pengarah di Institut Pusat Sains Forensik Kementerian Keadilan Thailand. Beliau adalah pakar dalam menyiasat kes-kes pembunuhan yang rumit, dan terbabit dalam operasi membedah siasat ribuan mangsa Tsunami 2006. Beliau dilantik kerajaan negeri Selangor untuk membongkar misteri kematian mendiang.

Mengulas dengan lebih lanjut, Gobind berkata penemuan ini mengesahkan spekulasi yang berkisar sekitar misteri kematian mangsa.

"Saya juga dapati kecederaan tusukan di bahagian dubur yang boleh disebabkan perbuatan memasukkan objek dalam bahagian berkenaan. Saya tidak pernah melihat kecederaan seumpama itu dalam kes jatuh dari tempat tinggi," kata beliau, sambil menunjuk kepada gambar-gambar bedah siasat yang dipaparkan pada slaid.

"Satu lagi kecederaan yang saya temui ialah keretakan tempurung kepala, yang mungkin disebabkan oleh hentakan tumpul yang tepat kepada tempurung kepala sebelum jatuh," kata Dr Porntip, saksi ke-30 di inkues itu.

Pakar itu percaya ada kemungkinan Teoh tidak sedarkan diri sebelum ditemui di tingkat 14 Plaza Masalam.

"Beliau telah membuat rumusan bahawa Teoh Beng Hock jatuh berkemungkinan besar dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ini membuatkan satu lagi tanda tanya dan sudah jelas dalam keadaan begitu mana mungkin beliau membunuh diri. Keterangan beliau juga cukup membawa satu kesan yang penting kepada pihak kami.Tujuan kami bawa saksi ini bertujuan membantu mahkamah dan kami harap mahkamah dapat memberi pertimbangan daripada keterangan beliau,"kata Gobind.

sumber: TVS

Brahim Ali Ada' Keistimewaan Tersendiri'

Baru-baru ini Brahim Ali berhasrat untuk menyertai semula UMNO sekiranya perubahan yang dituntut pucuk pimpinan parti itu berjaya diterjemah untuk membela serta melindungi nasib kaum Melayu dan peribumi.

Ekoran daripada hasrat Brahim Ali itu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan telah menyatakan pendirian mereka tidak bersetuju supaya Ibrahim Ali diterima balik masuk UMNO.

Hari ini Muhyiddin (Timbalan Presiden UMNO) pula mengulas mengenai isu yang sama dengan mengatakan bahawa UMNO tidak akan menyekat hasrat Brahim Ali untuk menyertai parti namun, permohonan beliau akan diteliti sebelum keputusan mendalam dilakukan.

Semua orang kenal Brahim Ali. Cara beliau berpolitik ada 'keistimewaan' yang tersendiri. Beliau pernah keluar UMNO dan sertai parti lain. Sekarang, mungkin beliau rasa agak terasing.

20 October 2009

Pemimpin Pakatan Diarah Jaga Kenyataan Masing-Masing

Pemimpin Pakatan Rakyat hari ini memutuskan semua perbezaan pendapat antara ketiga-tiga parti harus diselesaikan menurut saluran yang betul sama ada di peringkat negeri ataupun pusat.

Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di parlimen petang tadi, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu ianya bagi menjaga hubungan baik antara parti dalam Pakatan Rakyat.

"Kita putusakan dengan tegas bahawa semua pendapat diselesaikan mengikut ruang yang ada sama ada di peringkat negeri ataupun Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di peringkat pusat," katanya yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Langkah lain yang turut dipersetujui pada mesyuarat tersebut adalah supaya pimpinan tertinggi parti mengarahkan kesemua ahli parti masing-masing supaya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan ketiga-tiga parti dalam pakatan itu.

"Ketiga-tiga pimpinan parti telah memberikan arahan cukup jelas dan tidak akan bertolak ansur dengan mana mana usaha ataupun kenyataan yang dikeluarkan yang boleh menyebabkan keruhnya hubungan antara parti di peringkat bawah," katanya lagi. Image

Bagi memperkasakan lagi hubugan ketiga-tiga parti, Pakatan Rakyat juga mengumumkan untuk mengadakan Konvensyen Pimpinan Pakatan Rakyat pada 12 dan 13 Disember ini bertempat di Shah Alam.

Konvensyen tersebut akan disertai 1500 perwakilan masing-masing lima ribu dari setiap parti dalam Pakatan Rakyat.

Selain Anwar, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan kepimpinan tertinggi ketiga-tiga parti termasuk Datuk Zaid Ibrahim hadir pada sidang media tersebut.

Mesyuarat siang tadi antara lain memberi fokus kepada memperkukuh dan memperbaiki kelemahan yang ada di dalam pakatan.

Turut ditanya, desas desus wujud kemelut di antara dua pepimpin PKR membabitkan Datuk Zaid Ibrahim dengan Naib Presiden, Azmin Ali namun Anwar menafikan dakwaan tersebut.

"Zaid Ibrahim ada Azmin ada, tak ada masalah apa pun," jawab Anwar disambut gelak ketawa hadirin.

Perkara lain turut dibincang adalah berkaitan platform dasar bersama Pakatan Rakyat yang akan ditubuhkan.

Turut dimaklumkan mesyuarat itu juga bagi mendengar laporan awal bedah siasat kekalahan pakatan rakyat di Bagan Pinang.

Selain faktor rasuah dan penipuan, mereka turut mengakui kelemahan diperingkat parti masing masing turut menyumbang kepada kekalahan tersebut.

(HarakahDaily)



DSAI: Krisis Azmin-Zaid Perkara Biasa

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perselisihan faham antara Naib Presiden PKR, Azmin Ali dengan Datuk Zaid Ibrahim bukan masalah besar kerana ia boleh terjadi kepada mana-mana pemimpin.

Menurutnya, beliau juga pernah berselisih faham dengan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang lain sebelum ini tetapi disebabkan komitmen tinggi terhadap rakyat, perkara ini boleh diselesaikan secara baik dengan berunding.

“Ini bukan konflik MCA, bukan konflik MIC mahupun peperangan dalam UMNO, perkara ini menjadi besar kerana digembar-gemburkan oleh media yang dikawal UMNO-Barisan Nasional (BN),” katanya kepada media selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran PKR Lembah Pantai di sini hari ini.

Katanya lagi, PKR sentiasa berpendirian bahawa mana-mana pemimpin pusat boleh datang ke majlis-majlis anjuran negeri atas pelawaan seperti mana beliau hadir ke rumah terbuka di mana-mana sahaja.

“Zaid boleh hadir ke mana-mana majlis atas pelawaan PKR negeri dan ini adalah pendirian kita,” katanya.

Selain itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menegaskan andaian sesetengah pihak yang berpendapat pemegang jawatan pengerusi negeri akan dilantik menjadi Ketua Menteri atau Menteri Besar adalah tidak betul kerana jawatan tersebut boleh berubah bila-bila masa.

“Kita beri tempoh sehingga 25 Oktober ini untuk tentukan PKR negeri memilih siapa yang akan mengetuai PKR negeri Sabah.

“Perkara yang paling penting adalah penerimaan semua pihak dan bukannya popular di satu-satu tempat sahaja,” katanya.

Isu ini timbul apabila Azmin dikatakan tidak senang dengan peranan Zaid yang akan dihantar ke Sabah berselindung di sebalik perjumpaan sambutan Aidifitri untuk menyelesaikan penolakan ketua-ketua bahagian terhadap Azmin, yang dilantik sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah.

Sehubungan itu, Zaid telah membuat pengumuman mengejut untuk bercuti selama enam bulan berkuat-kuasa serta-merta.

Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen turut menyifatkan UMNO melakukan pindaan perlembagaan parti semata-mata untuk kelangsungan hidup parti tersebut dan BN.

Menurutnya, ia dibuat untuk memberi gambaran kepada rakyat bahawa UMNO bersungguh-sungguh mahu membanteras politik wang sedangkan perkara lain seperti sistem kehakiman, polis dan media langsung tidak berubah.

“Walaupun mereka menukar polisi dan agenda parti mereka, bagaimana pula dengan sistem-sistem yang dikawal oleh UMNO-BN, semua ketua adalah dari muka-muka lama, contohnya seperti Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) yang dilantik semula, jadi perubahan apa yang mereka cakapkan?

“Oleh itu mereka sanggup buat apa sahaja demi kelangsungan hidup UMNO, kelangsungan hidup pemimpin-pemimpin UMNO dan memanjangkan sedikit riwayat hidup mereka,” katanya.

Selain itu, beliau turut menjelaskan UMNO sanggup melakukan perubahan tersebut kerana perjuangan rakyat yang dibawa oleh PKR dan PR selama ini telah menggerunkan mereka.

“Antara ketuanan Melayu dengan ketuanan rakyat, saya berdiri di sebelah ketuanan rakyat kerana perjuangan ini lebih besar maknanya.

“UMNO harus faham dan PR juga harus memahami konsep ini kerana sekiranya kita mahu menang, inilah perjuangan yang kita harus bawa,” katanya.

Ditanya sama ada PKR turut melakukan pindaan terhadap parti, Anwar menjawab PKR selama ini jauh lebih telus dari UMNO tetapi sedikit pengubahsuaian harus dilakukan.

“Kita akan ubah sedikit, isunya ialah korupsi, adakah mereka (UMNO) serius untuk membanteras korupsi seperti kita, sudah tentu tidak,” katanya.

Pada Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu, tujuh pindaan perlembagaan parti telah diluluskan untuk mengubah kaedah pemilihan bagi jawatan parti supaya terbuka dan tanpa kuota dalam usaha membanteras politik wang dan menjadikan UMNO sebuah parti yang benar-benar bersih.

(AIC)

19 October 2009

Konsep 1Malaysia Juga Diciplak Dari Indonesia

Sebelum ini saya sering mempertikaikan konsep nasionalisme yang dibawa oleh pemimpin Kerajaan (Barisan Nasional) kepada rakyat Malaysia. Baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak yang kononnya memperkenalkan 1Malaysia yang membawa erti semua kaum di Malaysia berdiri di bawah satu konsep Bangsa Malaysia yang tidak mengira kaum.

Sebelum ini lagu kebangsaan Malaysia juga dibuktikan bahawa ianya bukan lagu asli Malaysia yang diciplak dari lagu keroncong Terang Bulan di Indonesia yang asalnya diambil dari lagu Memula Moon.

Sumpah Pemuda

Konsep 1Malaysia mirip Sumpah Pemuda yang dibacakan pada 28 Oktober 1928 yang mana berikrar berbangsa satu, Bangsa Indonesia. Sumpah Pemuda Indonesia juga berikrar bahawa mereka bertumpah darah yang satu, tanahair Indonesia dan menjunjung Bahasa Indonesia sebagai bahasa mereka bagi memperkuatkan kesatuan bangsa-bangsa di Indonesia.

Para peserta dari kongres sumpah pemuda ini terdiri dari pelbagai organisasi pemuda seperti Jong Java, Jong Ambon, Jong Celebes, Jong Batak, Jong Sumatranen Bond, Jong Islamieten Bond, Perhimpunan Pelajar-pelajar Indonesia (PPPI), Pemuda Kaum Betawi. Bahkan ada juga keturunan Tionghoa yang bertindak sebagai pemerhati dalam kongres tersebut.

Signifikannya konsep yang dibawa oleh Pemuda Indonesia pada ketika itu apabila ianya diusulkan di dalam kongres yang dihadiri oleh wakil-wakil mahasiswa Indonesia dari pelbagai etnik di Indonesia yang bergabung di Indonesische Vereeninging (yang akhirnya diubah menjadi Perhimpunan Indonesia). Kewujudan gabungan ini adalah hasil daripada kecewaan dengan perkembangan kekuatan-kekuatan perjuangan di Indonesia, dan melihat situasi politik yang dihadapi, akhirnya membuat keputusan untuk membentuk kelompok pemikir dari kalangan mahasiswa berpengaruh atas keaktifan mereka pada ketika itu.

Antara kelompok pemikir terdiri daripada Kelompok Studi Indonesia (Indonesische Studie-club) yang dibentuk di Surabaya pada tanggal 29 Oktober 1924 oleh Soetomo. Kedua, Kelompok Studi Umum (Algemeene Studie-club) yang direalisasikan oleh para nasionalis dan mahasiswa Sekolah Tinggi Teknik di Bandung yang dimotori oleh Soekarno pada tanggal 11 Julai 1925

Mereka berpendapat, bagi memperkuatkan kesatuan di kalangan bangsa-bangsa di Negara itu ialah dengan melalui sejarah, bahasa, hukum adat, pendidikan dan kemahuan.

Pada perhimpunan mereka kedua pada 28 Oktober 1928 di Gedung Oost-Java Bioscoop, mereka membahaskan masalah pendidikan. Di akhir perbahasan, mereka bersependapat bahawa kanak-kanak harus mendapat pendidikan kebangsaaan, harus pula ada keseimbangan antara pendidikan di sekolah dan di rumah. Mereka juga bersetuju bahawa anak-anak perlu dididik secara demokratik.

Di akhir kongres juga diperdengarkan lagu "Indonesia" karya Wage Rudolf Supratman.

Kini hari Sumpah Pemuda menjadi hari bagi memperingati konsep yang diperkenalkan pada tahun 1928 itu. Setiap kali tiba tanggal 28 Oktober, mereka akan memainkan semula rakaman ikrar Sumpah Pemuda 1928 yang bertujuan untuk membangkitkan kesedaran segenap pemuda Indonesia dalam meningkatkan semangat kebangsaan serta mengantisipasi kelemahan daya saing pemuda Indonesia pada waktu tertentu.

Dan harapan pelapis-pelapis kepimpinan yang menyanjung sejarah konsep "satu bangsa" mereka ialah menimbulkan kesedaran bahawa kemajuan bangsa yang berkeadilan sosial dan bermartabat akan mudah dicapai apabila bangsa Indonesia tetap mempertahanan rasa persatuan dan kesatuan. Justeru, para pemuda harus memiliki kesedaran posisi untuk terus mengasah jiwa kepeloporan mereka dalam memperbaiki kualiti kehidupan bangsa mereka.

1Malaysia

Apakah yang dibawa 1Malaysia?

Menurut Blog 1Malaysia yang aku rasa bukan ditulis oleh Najib, 1Malaysia mengandungi lapan nilai iaitu ketabahan, penerimaan, pendidikan, integriti, meritokrasi, rendah hati, kesetiaan dan budaya kecemerlangan. Menurut Najib di dalam salah satu ucapan di dalam blognya, matlamat 1Malaysia adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian negara ini yang selama ini menjadi kekuatan suapaya kekal sebagai bekalan sebaik kita untuk masa hadapan. Ia juga kononnya sebagai tempat untuk berkongsi impian, untuk satu masa hadapan yang lebih baik.

Memang menakjubkan dan semememangnya nilai-nilai ini diperlukan. Tetapi apakah nilai-nilai ini diterapkan? Kita lihat konsep Bersih, Cekap, Amanah yang diterapkan oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan kemudiannya diubah kepada Bersih, Cekap, Adil yang mana nilai-nilai itu cuba diterapkan kepada kakitangan-kakitangan kerajaan. Adakah tahap kecemerlangan kakitangan awam Berjaya dipertingkatkan?

Kita lihat pula Konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi bagi menerapkan cara hidup Islam. Ianya dikecam dengan cuba memanipulasi kosep kesyumulan Islam itu sendiri.

Sememangnya, konsep-konsep nasionalisme yang dibawa oleh pemimpin kerajaan Malaysia (sebut: Barisan Nasional) hanya cuba memberi kepentingan yang boleh membawa kepopularitian individu dan tidak melihatkan kesan kepada pembangunan insan.

Inilah akibatnya apabila kita mempunyai konsep yang tidak mempunyai nilai demokratik yang betul-betul melihat kepada pemasalahan dan keperluan rakyat dalam membentuk satu bangsa.

Saya cuba menanya pendapat teman-teman mengenai kefahaman mereka secara rambang mengenai konsep 1Malaysia. Mereka sering merujuk 1Malaysia kepada Najib. Pendapat melampau daripada teman-teman ialah retorik politik biasa pemimpin Malaysia. Mungkin sedih apabila mendengar pendapat sedemikian tetapi bukankah pendapat-pendapat mereka itu ada kebenarannya?

*Faisal Mustaffa ialah penulis bebas.

(MerdekaReview)

18 October 2009

Tiada Siapa Mahukan Brahim Ali

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali nampaknya terpaksa menggunakan 'payung' (logo semasa tiket bebas) beliau semula sekiranya masih mahu berentap dalam pilihanraya. PAS, sudah pasti tidak akan menerimanya kembali. Brahim tidak mengenal sesiapa, TGNA pun, di tentangnya.

Sebelum ini kononnya ada suara yang mahukan Brahim 'rujuk' kembali kepada UMNO. rupa-rupanya, beliau hanya bertepuk sebelah tangan, banyak suara yang tidak mahu daripada yang mahu Brahim kembali.

Hari ini, Pergerakan Pemuda Umno Kelantan meminta Majlis Tertinggi (MT) parti itu membuat penilaian terperinci sebelum menerima semula kemasukan Brahim bagi mengelak 'pisang berbuah 2 kali'.

Setiausaha pergerakan itu berkata, apa yang dialami oleh UMNO sebelum ini cukup menyedarkan, apabila Brahim sanggup menentang calon BN kerana beliau tidak terpilih. Pada PRU-12 pula, Brahim menggunakan PAS untuk menentang calon BN, 1 lawan 1. Brahim kini diawang-awang ekoran kedudukannya dipertikaikan oleh PAS kerana sering memberi reaksi negatif kepada parti itu.

Apabila dinilai dengan perangai Brahim yang ramai sudah ketahui, lebih elok beliau terus menggunakan tiket bebas selagi beliau masih 'bernafsu' untuk bertanding.

Komen DSAI Mengenai Isu Zaid Bercuti

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) DSAI berkata media massa arus perdana telah memutarbelitkan cuti 6 bulan yang diambil oleh Zaid Ibrahim dari tugas-tugasnya di dalam biro politik parti.

Beliau berkata, "benda ini tidak berbangkit kerana dia baru telefon saya dari Sarawak bersama Presiden ada program parti. Kemudian dia hendak bercuti menunaikan haji. Program di Sabah itu kerana dianjurkan oleh cabang tanpa negeri. Dua hari lalu negeri bermesyuarat dan mengesahkan sebagai program negeri, jadi selesai,".

Di Sabah Zaid mengesahkan bahawa beliau hanya bercuti daripada tugasan biro politik. Selain menunaikan ibadah haji, beliau akan terus memikul tanggungjawab untuk memantapkan Pakatan Rakyat (PR) sebagai persediaan untuk membentuk sebuah perlembagaan yang didokong oleh ketiga-tiga parti berkenaan iaitu PKR, PAS dan DAP bagi membolehkan ia mendaftar sebagai satu entiti politik secara rasmi.

Tiada Sebarang Kepincangan Berlaku Dalam PKR

Permohonan cuti mantan Menteri Undang-Undang Zaid Ibrahim disensasikan media arus perdana, walhal ia bukan sesuatu yang luar biasa. Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Dr Syed Husin Ali berkata desas-desus pergeseran antara Zaid dan pihak tertentu dalam PKR tidaklah separah yang dikhabarkan.

Syed Husin berkata demikian merujuk kepada liputan media hari ini yang melaporkan Zaid menghadapi kesukaran susulan pergeserannya dengan Naib Presiden Azmin Ali. Pengumuman cuti Zaid ini dibuat sewaktu muncul khabar bahawa beliau berkemungkinan meninggalkan PKR.

"Sememangnya adalah satu perkara biasa pihak BN mengambil peluang secara opotunis, sekiranya kalau ada perkembangan dalam Pakatan terutamanya dalam keadilan. Saya nampak berita tentang Zaid ini sudah terlalu dibesar-besarkan dan diselewengkan untuk kepentingan BN dan untuk menunjukkan seolah-olahnya ada krisis besar", ujarnya.

Zaid dibawa masuk ke PKR oleh Ketua Umum Anwar Ibrahim pada Jun lalu dengan tanggungjawab untuk menyatukan Pakatan Rakyat menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.

Zaid ketika disoal media menafikan keseriusan pergeseran seperti yang dilaporkan media. Beliau berkata permohonan cuti ini perlu bagi menumpukan perhatian merumus platform asas Pakatan Rakyat.

Syed Husin menyatakan kekesalan dengan liputan sensasi yang diberikan dan berharap semua pihak supaya bertenang sehingga kertas kerja platform Pakatan Rakyat yang diusahakan Zaid di bentang pada Persidangan Pakatan Rakyat Disember depan.

"Saya rasa ambil cuti bukan masalah, ramai yang kadang-kadang ambil cuti. Hendak cuti naik haji, hendak cuti sabbatical dan sebagainya. Jadi tidak ada sebab untuk diperbesar-besarkan. Tetapi ia telah dibesar-besarkan. Dan oleh kerana zaid telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung untuk minta cuti, saya rasa dalam mesyuarat akan datang, surat dia akan dibentangkan dan kita akan berbincang jika perlu dan buat keputusan sama ada hendak terima atau tidak".

"Yang saya lihat perkaranya kecil. Seperti yang telah diterangkan oleh saudara Zaid sendiri, beliau mengambil cuti enam bulan dan waktu itu tidak akan menghadiri biro pilitik dan mesyuarat MPP, tetapi tugas-tugas lain sebagai ahli PKR, sebagai anggota PKR akan diteruskannya. Bahkan beliau akan memperkukuh dan memperkasakan Pakatan Rakyat sebagai parti yang lebih kuat dan bersatu", ujarnya mengakhiri perbualan.

(TVS)

HIMPUNAN ARTIKEL-ARTIKEL SEBELUMNYA