Walaupun dinafikan oleh Ong sendiri, namun mustahil untuk "pelan perpaduan" sedemikian disempurnakan tanpa campur tangan dan tekanan daripada Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO dan BN, Najib Razak.

Malah, hampir semua pemimpin MCA menonjolkan wajah sebenar di depan masyarakat Cina -- saling mengkhianati kerana gelojoh kuasa, lantas menggadaikan kredibiliti pimpinan (sekiranya masih ada). Persoalannya, sejauh manakah pendamaian ini mewujudkan suasana "feel good" dalam masyarakat Cina?
Saling membaling najis
Sekali imbas, Ong sebelum ini menyifatkan Chua sebagai seorang pemimpin yang tidak bermoral, kerana tercalit dengan skandal seks. Malah, pada peringkat akhir ketika "berkempen" untuk EGM, Chua dituduh mengundang campur tangan UMNO, malah dengan berlapik Chua dikaitkan dengan Tiong King Sing, Ketua Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd yang terlibat dalam skandal PKFZ.
Selepas 10 Oktober, pelbagai berita/cerita terbongkar melalui sumber yang berlainan. Misalnya bagaimana Ong mengingkari janjinya untuk meletak jawatan, biarpun sudah memesan agar surat letak jawatannya dirangka. Malah, seorang pemimpin wanita yang dilihat sebagai orang kepercayaan Ong selama ini, telah memaki Ong dalam satu mesyuarat tertutup yang tidak dihadiri Ong.
Cerita/berita sedemikian menyarat dada media cetak bahasa Cina yang bersaing untuk mendapatkan laporan "eksklusif". Justeru itu, "satu mesyuarat tertutup" yang diadakan dilaporkan dalam beberapa "versi" mengikut siapa sumber maklumatnya. Yang paling penting, semua pimpinan tertinggi yang terlibat telah dicalitkan dengan najis yang dibaling antara satu sama lain. Ong, misalnya disifatkan sebagai ditaktor, punca kemelut MCA, "cakap tak serupa bikin", malah belum membersihkan nama sepenuhnya daripada tuduhan Tiong King Sing.
Sanggup berselimut dengan musuh?

Malah, ada yang cuba menganalisa pergelutan Ong-Chua sebagai pergelutan dua idea, sama ada untuk memilih Ong yang menjadi lambang untuk "membanteras rasuah", atau mengekalkan "kuasa lama" seperti Chua, yang dilihat mewarisi budaya politik lama. Kini, hujah sedemikian menjadi lucu di bawah payung "perpaduan" yang ditaja Najib Razak.
Apa yang lebih dahsyat, keputusan EGM telah dinafikan begitu sahaja, walaupun "mesyuarat agung" menduduki status tertinggi dalam struktur organisasi, menurut perlembagaan MCA. Ramai yang tertanya-tanya, jikalau inilah kesudahannya, apa perlunya, atau maknanya untuk mengadakan EGM?
Pergelutan ini bukan bertemakan kepentingan rakyat sebermulanya, semakin memuakkan di pertengahannya, menjadi dramatik apabila EGM melabuh tirai, dan kini dijadikan komedi lucu yang gagal mencungkil minat audien.
Apa yang mujarab kepada UMNO...
Falsafah di sebalik jalan penyelesaian sedemikian tidak berbeza dengan apa yang berlaku di UMNO. Mungkin untuk Najib, apa yang mujarab untuk mengubati UMNO semestinya mujarab untuk MCA. Justeru itu, "formula perpaduan" dihidangkan untuk mengambil hati masyarakat Cina, sebagaimana gambar "Muhyiddin-Najib-Mahathir-Abdullah mengangkat tangan" diperbesarkan di depan akhbar untuk mewujudkan suasana "perpaduan" dalam masyarakat Melayu.
Malah, Ong kini menjadi lambang pemimpin yang tidak berpegang kepada janji, Chua kekal dihantui wataknya dalam vcd seks, Liow Tiong Lai pula ditonjolkan sebagai "pengkhianat" yang tidak sabar untuk merampas kuasa. MCA dilihatkan sebagai parti yang gagal menyelesaikan masalah sendiri dan hilang "kedaulatan" kerana mengundang campur tangan UMNO, memperlekehkan keputusan perwakilan dalam EGM, dan pucuk pimpinan pula dianggap gelojoh kuasa tanpa semangat setiakawan antara satu sama lain.
Oleh itu, apabila gambar "Chua-Ong-Liow berjabat tangan" terpampang di depan mata pembaca Cina pada keesokkan harinya, ia semestinya bukan ubat untuk menyembuhkan MCA, tetapi lebih kepada racun untuk menghentikan nafas parti yang sudah berusia 60 tahun itu, mungkin sebelum PRU ke-13.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview edisi bahasa Melayu.
(MerdekaReview)
No comments:
Post a Comment