" Ya.. Allah.., berilah hidayat, hifazat dan maghfirahMu kepada pemimpin kami Imam Mahadi Al-Muntazar walau di mana baginda berada. Selamatkanlah baginda, bantulah baginda, begitu juga para pejuang Islam yang akan bergadai nyawa di sisinya. Ya.. Allah.., selamatkanlah seramai mungkin umat ini dari fitnah dan sihir Dajjal. Ya.. Allah.., bantulah kami menghadapi gelombang-gelombang ujian yang bakal mendatang "


INFO TERKINI GEMPA BUMI SABTU 3 MARCH 2012
8.20 pm -
Gempa bumi kuat bermagnitud 6.7 skala Richter telah berlaku di Tenggara Kepulauan Loyalty. Pusat gempa bumi tersebut terletak di latitud 22.1 Selatan longitud 170.5 Timur - 6403km Tenggara Tawau, Sabah :- JMM
PRO REFORM VIDEO - Piring Terbang..?

28 October 2009

Krisis Dalaman MCA Belum Reda

Seperti Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), "Pelan Perpaduan" turut menemui jalan buntu untuk menyelesaikan pergelutan kuasa yang berlaku dalam MCA. Timbalan Presiden Baru, Liow Tiong Lai bangkit bersama 14 orang AJK Pusat MCA yang lain, mendesak agar Presidennya, Ong Tee Keat akur kepada keputusan EGM yang diadakan pada 10 Oktober lalu.

"Pandangan mungkin berbeza, tafsiran amatlah banyak. Namun, kebenaran hanyalah satu." Demikianlah luahan Liow Tiong Lai sebermulanya sidang media yang diadakan pada hari ini, ketika mengulas selok belok antara dirinya dengan Ong. Walau bagaimanapun, Liow tetap enggan menyatakan secara jelas pendiriannya dalam isu sama ada Ong Tee Keat perlu meletak jawatan atau tidak.

Percaturan Liow bersama Ketua Pemuda Wee Ka Siong, dan Ketua Wanita Chew Mei Fun tidak sukar untuk dibaca. Semalam, Wee dan Chew masing-masing mengadakan sidang media di Parlimen, menyanggah tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka, malah mendakwa diri mereka dipersalahkan secara tidak adil

Ketiga-tiga mereka pernah dilihat sebagai anak buah Ong Tee Keat yang sehaluan dalam perjuangan, kini dilontarkan tuduhan sebagai "pengkhianat" yang tidak mengenang budi. Liow, Wee dan Chew dikatakan bersubahat untuk mendesak agak Ong mengundur diri selepas EGM, dengan harapan bahawa diri mereka berkesempatan untuk mengisi kekosongan dalam pucuk pimpinan.

Sekadar salah faham?

Semakin banyak "maklumat dalaman" terdedah berhubung keputusan Ong. Menurut versi "pemimpin lapisan muda" (Liow, Wee dan Chew) ini, Ong telah memaklumkan keputusannya untuk meletak jawatan selepas undi tidak percaya terhadapnya diluluskan. Malah, Ong telah mengarahkan Chew Mei Fun dan Hou Kok Chung (AJK MCA merangkap Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) untuk merangka surat perletakan jawatannya.

Walaupun ada AJK yang berpandangan bahawa Presiden tidak perlu undur, kerana ia sekadar "undi tidak percaya", dan bukannya usul "pelucutan jawatan Presiden" yang diluluskan dengan majoriti dua pertiga. Namun, Ong tetap berkeras untuk meletak jawatan, malah menolak tawaran AJK untuk memujuk agar beliau terus memimpin MCA.

Justeru itu, pertikaian berlaku apabila adegan ini diulas dengan versi yang lain, iaitu kononnya mereka bersubahat untuk menggulingkan Ong. Untuk Ong, beliau mengeluh kerana dikhianati oleh mereka yang tidak sabar untuk mendaki ke puncak kuasa; sementara pemimpin lapisan muda seperti Liow, Wee dan Chew mendakwa "darah menitis dalam hati" mereka kerana dilemparkan tuduhan yang liar.

Malah, ada yang mengibaratkan tindak-tanduk AJK (yang diketuai Liow) ini sebagai "sudah rebut pusaka biarpun mayat Ong belum sejuk"; dan "diperbetulkan" pula dengan "sudah rebut pusaka biarpun Ong belum menghembuskan nafas terakhir". Ibarat sedemikian menonjolkan betapa gelojohnya pemimpin lapisan muda ini ketika berdepan dengan kuasa.

Namun, pemimpin lapisan muda ini cuba membersihkan nama mereka, dengan mendedahkan "kebenaran" mengikut versi mereka, iaitu Ong tidak berani untuk mengaku bahawa dirinya telah menukar pendirian asalnya untuk meletak jawatan.

Pelan perpaduan tanpa restu AJK

Bagaimanapun, babak tersebut telah melabuh tirai, walaupun diulas dalam pelbagai versi. Persoalan kini timbul apabila Liow mendedahkan bahawa dirinya tidak mengetahui apa-apa berkenaan kandungan terperinci "Pelan Perpaduan" yang diumumkan. Beliau tidak terlibat dalam rangkaan pelan tersebut, malah tidak tahu bahawa Chua Soi Lek akan menjelma dalam sidang media pada 22 Oktober.

Liow dengan 14 AJK sebagai bentengnya, kini menuntut agar Ong Tee Keat menghormati keputusan EGM pada 10 Oktober, dan mengkaji semula Pelan Perpaduan tersebut. Chew Mei Fun secara terus-terang mengaku bahawa semua AJK terkilan kerana Presiden tidak pernah berunding dengan mereka berhubung pelan ini.

Malah, Wee Ka Siong menambah bahawa "perpaduan" tidak harus terbatas kepada "perpaduan satu atau dua orang pemimpin sahaja", namun perlu wujud di kalangan 930 ribu orang ahli, bermula dari AJK.

Kata-kata sedemikian bukan sekadar "pandangan", apabila berkemungkinan besar disusuli dengan tindakan. 15 orang AJK pusat kini menuntut agar mesyuarat dipanggil, supaya Presiden memberi perjelasan kepada mereka berhubung Pelan Perpaduan, dan keputusannya untuk undur atau tidak.

Retakan bermula...

Jelas, hubungan antara Ong dengan (bekas) anak buahnya semakin meretak. Kebimbangan mereka senang difahami, apabila melihat kepentingan mereka mungkin terjejas lantaran kompromi antara Ong dengan Chua. Mereka yang kecundang dalam PRU ke-12 tetapi diberikan jawatan dalam kerajaan seperti Chew Mei Fun mungkin gusar seandainya kabinet dirombak pada masa terdekat ini.

Desas-desus tersebar luas bahawa Wee Ka Siong mungkin kehilangan jawatan Timbalan Menteri Pelajaran seterusnya, berikutan "pengkhianatan" terhadap Ong. Orang rapat Chua akan diberi tiket untuk menyandang jawatan dalam kerajaan mahupun dalam parti.

Dengan kata lain, Pelan Perpaduan dengan ironinya menyatukan dua orang yang bermusuh, iaitu Ong dengan Chua, di samping memecah-belahkan antara Ong dengan anak buahnya, seperti Liow Tiong Lai, Wee Ka Siong dan Chew Mei Fun. Persoalan seterusnya, mampukah mereka yang tersisih dari Pelan Perpaduan ini melakukan sesuatu?

"Masa depan sukar diramalkan". Ayat ini juga terkeluar dari mulut Liow dalam sidang media hari ini.

*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview edisi bahasa Cina dan Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview edisi bahasa Melayu.

(MerdekaReview)

No comments:

HIMPUNAN ARTIKEL-ARTIKEL SEBELUMNYA