Bagi mengukuhkan lagi permuafakatan di kalangan Ahli Parlimen dan Adun PR di Selangor, satu pertemuan bersama telah diadakan di kediaman rasmi Dato’ MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini, malam tadi.
Pertemuan yang dihadiri hampir kesemua Ahli Parlimen dan Adun PR itu jelas menunjukkan hubungan antara ketiga-tiga parti gabungan iaitu PKR, PAS dan DAP di Selangor masih utuh walaupun ada sesetengah pihak cuba mengkucar-kacirkan kerajaan PR dengan menyebarkan pelbagai berita tidak benar.
Tiga pemimpin yang tidak dapat hadir ialah S.Manikavasagam(Ahli Parlimen Kapar), Gobind Singh Deo(Ahli Parlimen Puchong) dan Ng Suee Lim(Adun Sekinchan).
Dalam pertemuan malam tadi Abdul Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor turut meminta Adun PR di negeri ini mengenepikan hal remeh-temeh yang boleh menjejaskan hubungan erat ketiga-tiga parti.Katanya, permuafakatan yang lebih erat dan persefahamanan perlu ada dalam parti bagi menangani dakyah serta tohmahan parti lawan.
Selain membincangkan isu2 terkini di peringkat negeri, pertemuan malam tadi turut menyentuh isu berkaitan dua kerajaan negeri PR yang lain iaitu Perak dan Kedah yang akan mengadakan pilihan raya kecil tidak lama lagi.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Dato’ MB, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu berkata pihaknya yakin tidak akan berlaku sebarang lompat parti membabitkan pemimpin PR di Selangor.
“Setakat hari ini kita yakin di Selangor tidak akan berlaku perkara seumpama itu. Dengan semangat setiakawan yang ada di kalangan kita, perkara ini tidak akan menjadi isu. PR Selangor akan tetap mengikuti perkembangan semasa di Perak dan menyokong kepimpinan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi berkata PR Selangor akan mengadakan Retreat Exco yang turut membabitkan Ahli Parlimen dan Adun negeri ini. “Retreat ini bertujuan untuk membincangkan isu2 terkini dan rancangan masa depan untuk kerajaan negeri Selangor,” katanya menambah program itu akan diadakan di Subang Jaya pada 20 hingga 22 Februari ini. - MURIZA ABDUL HAMID
PAKATAN RAKYAT: KERAJAAN PRIHATIN
PAKATAN RAKYAT: KERAJAAN PRIHATIN
No comments:
Post a Comment