
Sehubungan itu, PKR bercadang untuk membenarkan kesemua 300,000 ahli di seluruh negara terbabit secara langsung dalam pemilihan pemimpin nasional. Naib Presiden Sivarasa Rasiah berkata sistem pemilihan akar umbi ini adalah tujahan utama dalam strategi menerapkan nilai demokrasi dalam parti.
“Antara usul penting adalah melaksanakan sistem pemilihan terbuka menggantikan sistem perwakilan sedia-ada. Sistem ini membolehkan semua ahli PKR memilih pemimpin mereka dari peringkat Bahagian, Negeri dan Pusat,” kata Sivarasa.
Kongres khas akan diadakan pertengahan tahun ini untuk perwakilan membahaskan pindaan-pindaan terbabit.
Sivarasa menjelaskan gejala politik wang yang dilihat dalam pemilihan parti politik lain khususnya Umno mendesak kepada pelaksanaan sistem demokrasi akar umbi ini.
“Kita juga berpendapat menyerahkan kuasa undi ke peringkat akar umbi dapat mengatasi politik wang yang menular dalam parti-parti lain. Kita tidak mahu gejala yang sama meresap ke dalam PKR,” tegas beliau.
Selain dari aspek pemilihan parti, Sivarasa berkata tempoh jawatan Presiden akan dihadkan kepada tiga penggal sahaja. Penggal penuh adalah 3 tahun.
“Ini satu lagi usul penting, dan diperkenalkan sejajar dengan seruan demokrasi yang kita canangkan. Melihat kepada kedudukan PKR hari ini, adalah penting untuk menampilkan imej yang PKR benar-benar komited kepada demokrasi,” katanya.
Sistem cawangan juga akan diaktifkan semula bagi mengukuhkan gerak-kerja parti di peringkat akar umbi dan masyarakat seluruhnya.
Selain itu, jawatan Naib Presiden ditambah dari 5 kepada 7, sesuai dengan kemajmukan PKR hari ini.
“PKR adalah satu-satunya parti yang benar-benar nasional. PKR mempunyai pembabitan dari semua kaum dengan pelbagai budaya dan agama, lantas barisan Naib Presiden perlu dibesarkan supaya PKR benar-benar mewakili aspirasi rakyat seluruhnya,” ujar Sivarasa.
Pelantikan ke jawatan kanan parti juga turut dihadkan bagi membuka ruang kepada lebih ramai pemimpin yang dilantik akar umbi PKR.
Sivarasa menjelaskan pindaan-pindaan ini perlu sesuai untuk PKR menghadapi cabaran politik Malaysia di masa hadapan.
No comments:
Post a Comment