Nanyang Siang Pau

Walau bagaimanapun, analisis ini berpendirian bahawa SPRM perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan Teoh, memandangkan Teoh ditahan oleh pihak SPRM. Malah, analisis ini menganggap Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) diperkenalkan untuk memantapkan sistem “soal-tanggungjawab”, maka pengawai atasan SPRM yang gagal menjalankan tugas dengan baik wajar meletak jawatan untuk menunjukkan sikap kebertanggungjawaban.
Malah, analisa ini menganggap rekod prestasi SPRM (yang sebelumnya BPR) yang kurang memuaskan pasti mengungkit lebih masalah ekoran kematian Teoh. Walaupun banyak laporan yang diterima, namun tiada “buaya” besar ditangkap setakat ini. Malah, kes “lama” melibatkan jumlah wang yang secara bandingnya lebih rendah telah didakwa, turut menyebabkan efisiensi SPRM dipertikai.
Dalam edisi tempatan (KL-Selangor), Nanyang Siang Pau memetik kata-kata penduduk Serdang yang kesal dengan kematian Teoh. Teoh yang juga merupakan pembantu Eon Yong Hian Wah di kawasan DUN Seri Kembangan pernah mengendalikan masalah pengundi. Malah, seorang penjual suratkhabar menangis ketika ditemuramah, mengeluh apabila melihat masa depan seorang pemuda diakhiri sebegitu rupa.
Exco Senior kerajaan Selangor, Teresa Kok yang pernah ditahan sebanyak tujuh hari di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960) ketika ditemuramah, menganggap agak sukar untuk seseorang pemuda berdepan dengan soal-siasat dalam jangka masa yang panjang. Beliau juga membidas tempoh yang lama ketika menunggu untuk disoal-siasat sebagai “penderaan jiwa”.
Sin Chew Daily

Dalam muka surat kedua, laporan tertumpu untuk memetik kata-kata ahli keluarga Teoh. Malah, ibu Teoh memaklumkan bahawa beliau pernah menasihati Teoh agar tidak menerima tawaran kerja ini. “Saya menasihati supaya dia tidak menerima kerja ini pada ketika itu, tetapi dia tidak patuh. Kalau dia patuh nasihat saya, peristiwa ini tidak akan berlaku…,” kata ibunya.
Teoh bertukar kerja sebagai setiausaha politik Ean Yong Hian Wah selepas pilihan raya umum, 8 Mac 2008. Malah, bapa Teoh juga tidak tahu bahawa anaknya telah disoal-siasat SPRM sehingga terbaca di suratkhabar semalam (16 Julai). “Rakan sekerjanya menelefon mengatakan bahawa tidak ada apa-apa berlaku terhadapnya, dan dijangka akan dibebaskan pada jam 5 petang hari ini (16 julai). Tanpa diduga, khabar yang diterima akhirnya adalah dia jatuh dari bangunan…,” kata bapanya.
Teman wanita Teoh yang berumur 28 tahun mengesahkan bahawa mereka sudah membuat tempahan di restoran pada 3 Oktober tahun ini, untuk mengadakan jamuan perkahwinan. Cita-cita Teoh untuk menjadi pengantin tidak tercapai akhirnya.
Timbalan Ketua Pengarang, Tay Tian Yan dalam ruang kolum beliau turut mengungkit kes banglo Khir Toyo, mempersoalkan sama ada kes ini telah disoal-siasat, atau dibiarkan sehingga dilupakan kemudian? Beliau menganggap siasatan kes perlu merujuk “berat-ringan” kes tersebut. Menurut tulisan beliau, walaupun orang ramai sukar membuktikan bahawa SPRM mempunyai motif politik, tetapi amalan sekarang telah mencungkil spekulasi khalayak ramai, malah menimbulkan ketidaktenteraman politikus pembangkang.
China Press

Laporan kes ini mengisi muka surat ke-4 hingga ke-7 dalam China Press. Tajuk utama memetik hujah abang kandung Teoh, yang mempertikai kemungkinan Teoh membunuh diri. Menurut abangnya, Teoh akan mendaftar perkahwinan pada hari ini (17 Julai), maka tiada
sebabnya beliau membunuh diri pada ketika itu.
Dalam edisi Central, koleksi gambar memuatkan ruang muka belakang, malah muka depan menyiarkan hujah yang dipetik dari wakil rakyat, yang masing-masing menuntut SPRM untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian ini.
Oriental Daily

Dalam muka surat A4, hujah pemimpin DAP dikemas- kini, bertajukan “DAP meminta pasukan siasatan yang bebas” untuk menyiasat kejadian ini. Malah, berita memetik Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggesa SPRM supaya menghentikan sebarang aniaya politik terhadap Pakatan Rakyat, kerana ia tidak memanfaatkan sebarang usaha membanteras rasuah mahupun menegakkan keadilan sosial.
Jurucakap pusat MCA, Gan Ping Sieu turut menganggap Suruhanjaya Pencegah Rasuah Selangor perlu bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut. Gan menggesa polis menjalankan siasatan dengan segera, sama ada kematian Teoh mengandungi unsur jenayah, ataupun proses soal-siasat yang tidak sesuai.
Kwong Wah Yit Poh

*Kaleidoskop adalah “digest” kandungan akhbar bahasa Cina. Akhbar yang dirujuk bertarikh 17 Julai, merujuk kepada isu kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Exco Selangor
No comments:
Post a Comment