Amanat Harapan telah pun disampaikan kepada penggerak dan kepimpinan parti di Hotel Quality, Shah Alam kelmarin. Saya melontarkan kepada hadhirin juga kepada umum, hasil penggalian teks klasik seumpama Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.
Kita harus yakin kerana hujah dan pemahaman kita akan akar budaya serta akal budi umat Melayu berasaskan permenungan pujangga serta garapan pendita bangsa.
Kedangkalan pemahaman juga tumpulnya hujah pengampu-pengampu yang melaungkan-laungkan ‘derhaka’ cukup melucukan, namun juga menyedihkan. Ini jelas memperlihatkan miskinnya jiwa anak-anak bangsa sehingga sanggup bersikap biadap dan angkuh.
Apatah lagi dengan ingatan singkat pimpinan kumpulan taksub ini, sekonyong-sekonyong merekalah pejuang Melayu sejati, walhal gerombolan inilah yang merompak harta rakyat miskin serta mencabul kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi!
Yakinlah, rakyat bersama kita. Tak kira dari Semenanjung atau dari Sabah mahupun Sarawak, agenda kita disambut kerana tuntutan perubahan sememangnya tidak terelakkan dan pastinya berlaku.
Majlis Amanat kemudiannya disambung dengan pertemuan dan perbincangan bersama kepimpinan serta pengerak dari seluruh negara termasuklah dari Sabah dan Sarawak. Berhadapan seteru yang mempunyai kekayaan yang tidak terkira, pastinya tidak mudah. Akan tetapi rakyat Sarawak dahagakan perubahan. Suara mereka yang sebelumnya ditindas akan disahut dengan tuntutan perubahan.
Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaaan kepada semua kerana sudi berkongsi buah fikiran. Pendapat saudara semua sangat bermakna dalam memenuhi Agenda Perubahan dan menyusun strategi berkesan bagi membolehkan rakyat menikmati janji Harapan Baru Untuk Malaysia.
ANWAR IBRAHIM
No comments:
Post a Comment