Bulan Jun 2008 menyaksikan pertembungan langsung antara dua orang "bakal Perdana Menteri". TPM Najib Razak bersama isterinya dikaitkan sekali lagi dengan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu, oleh Raja Petra Kamaruddin (kiri, gambar kiri). Blogger yang berpengaruh ini membuat akuan sumpah pada 18 Jun, menuduh Rosmah Mansor, isteri TPM berada di tempat kejadian pembunuhan Altantuya.
10 hari kemudian, seluruh Malaysia digemparkan sekali lagi, apabila "kes liwat Anwar Ibrahim II" ditayangkan. Kali ini, pembantunya Mohd. Saiful Bukhari tampil membuat tuduhan, disusuli kemudiannya dengan angkat sumpah di masjid, sebagai cubaannya untuk memperkukuhkan tuduhan tersebut, terutamanya di kalangan masyarakat muslim.
Anwar vs Najib 1:0
Cubaan meludah ke arah Anwar Ibrahim kali ini berakhir dengan pengaiban pada dirinya. Survey Merdeka Center yang diumumkan pada awal Julai memperlihatkan hanya 10% responden mempercayai bahawa Anwar melakukan liwat. Seterusnya, survey yang diumumkan pada awal Ogos 2008, menunjukkan bahawa sokongan terhadap Najib Razak hanya berada pada paras 34%, satu tamparan sengit terhadap bakal PM UMNO-BN ketika itu.
Malah, reputasi UMNO-BN jatuh merudum dalam PRK Permatang Pauh pada 26 Ogos, hampir terkubur dalam undi majoriti Anwar Ibrahim yang tertimbun. UMNO-BN yang menayangkan "Kes Liwat II" ini nyata lebih tertekan pada waktu itu, walaupun menguasai segala jentera negara.
Meskipun begitu, "Kes liwat II" tidak melabuh tirai begitu sahaja. Isu ini masih diungkit, secara tersurat mahupun tersirat dalam PRK yang berlangsung selepas PRK Permatang Pauh. Malah, Saiful Bukhari cuba memastikan "ketidakadilan yang menimpa dirinya" tidak hilang dari ingatan khalayak, mengingatkan orang ramai melalui blognya bahawa "Justice delayed Is Justice denied".
Kes liwat Anwar II diungkit lagi
Senario politik berubah dari masa ke masa, khususnya selepas Anwar Ibrahim gagal menyempurnakan rancangan 16 September. PR mula hilang fokus, perbalahan dalaman mula timbul, dan lebih ketara, jurang antara hasil kerja PR dan harapan rakyat kian melebar.
Sementara UMNO-BN yang diterajui Najib Razak, semakin kembali ke landasannya, apatah lagi setelah teruja dengan kemenangan PRK Bagan Pinang. Melainkan beberapa parti komponen BN yang masih bergelut dalam kemelut, BN kini dilihat berada dalam keadaan terbaiknya selepas tsunami 8 Mac 2008.
Senario sedemikian memberi nafas baru kepada UMNO-BN, bukan sahaja memantapkan dirinya, tetapi bersiap sedia untuk meneruskan "serangan yang belum selesai" itu. Maka dalam konteks inilah, mula wujudnya pertikaian "mengapa Anwar cuba melengah-lengahkan perbicaraan".
Awang Selamat, dalam kolumnya di Mingguan Malaysia pada 6 September 2009, mengusik Anwar dengan mengubahsuai laungan slogannya "lawan tetap lawan" kepada "tangguh tetap tangguh". Pada hari keesokannya, Utusan Malaysia menonjolkan isu liwat ini di muka surat depannya, dengan memetik hujah Chandra Muzaffar, "Kenapa mahu yangguh perbicaraan kalau tidak salah -- Anwar tidak perlu takut".
Menteri Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz, malah Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Rosnah Abdul Rashid Shirlin dipetik untuk mengulas pandangan yang diketengahkan oleh Awang Selamat. Tidak cukup dengan itu, isu liwat ini berlanjutan untuk hari-hari seterusnya, apabila mereka yang keluar parti dari PKR seperti Lokman Nor Adam, Roslan Kassim, S.Nallakaruppan beratur di atas lidah parti untuk mencabar dan menyelar Anwar.
Lebih-lebih lagi, ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang keluar dari PKR pada 29 Oktober 2009, menyebut "soal moral" Anwar antara sebabnya meninggalkan PKR. Bekas Ketua AMK, Mohd Ezam Mohd Nor tidak melepaskan kesempatan ini untuk mendesak agar Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isteri kepada Anwar Ibrahim untuk menjawab persoalan moral suaminya.
Bala pula muncul kembali
Serangan bertubi-tubi ini semestinya disedari PR, yang juga tidak akan berpeluk tubuh begitu sahaja. Maka, secara "kebetulannya", mereka yang "hilang" kerana kes Altantuya mula timbul semula untuk menggilap ingatan ramai. Raja Petra Kamaruddin misalnya, melalui Malaysia Today mendakwa bahawa kebenaran di sebalik kes pembunuhan Altantuya akan terbongkar sebelum hari Krismas tahun ini.
Balasubramaniam, penyiasat persendirian yang "hilang" selepas akuan sumpahnya yang mengaitkan Najib Razak dengan Altantuya, dan kemudian ditarik balik keesokannya, kini muncul dalam klip video yang tersiar di Malaysia Today. Apa yang berlaku sebelum dan selepas kehilangan diri dan keluarganya itu terdedah sedikit demi sedikit mulai 13 November.
PKR pula, melalui lidah partinya mendakwa bahawa gambar yang boleh menunjukkan hubungan antara Najib dengan Altantuya kini disorok oleh polis. Suara Keadilan Bil 206 (10-17 November 2009), memetik dari Free Malaysia Today yang menemuramah wartawan penyiasatan Perancis Arnaud Dubus, berkata gambar "yang tidak dibuat salinan" itu telah diberikan kepada Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, dan diserah kepada polis kemudiannya.
Kenyataan tersebut sememangnya tidak perlu disokong dengan bukti. Ia bertujuan untuk mencalit imej Najib Razak yang pernah "bersumpah" bahawa dirinya tidak mengenali Altantuya. Apa pun kemungkinan di sebaliknya, yang sudah pasti, Saiful dan "Altantuya" kini telah masuk semula ke gelanggang politik.
Lingam jawapannya
Ramai akan bersetuju bahawa yang dibicarakan itu bukan Anwar atau Najib, tetapi sistem kehakiman negara Malaysia. Biarpun mahkamah memutuskan sama ada Anwar bersalah atau Najib tidak terlibat, dalam kes yang menyebut nama masing-masing, gagal mengubah persepsi awam.
Buktinya, Anwar telah dijatuhkan hukuman 10 tahun yang lalu, diulangi tuduhan yang sama sepanjang satu dekad ini, gagal menghalang sokongan rakyat terhadapnya. Sebaliknya, walaupun media arus perdana terus mendakwa tuduhan terhadap Najib bersama isterinya dalam isu Altantuya adalah fitnah semata-mata, gagal membersihkan nama PM dalam pandangan umum.
Inilah masalah persepsi yang menghantui Najib. Walaupun populariti Najib menampakkan lonjakan kebelakangan ini, bahkan tindakan undang-undang terhadap Anwar mungkin boleh mencelarukan langkah PR sendiri, tetapi jikalau inilah kesudahannya, maka ia hanya akan memperkukuhkan persepsi bahawa sistem kehakiman negara kita terus diperkudakan.
Dengan kata lain, walaupun kuasa berada dalam tangan Najib, tetapi beliau sebenarnya tersepit di dalam dilema ini. Dalam kes liwat mahupun Altantuya, sebarang keputusan mahkamah yang bercanggah dengan persepsi rakyat, walaupun mungkin benar, tidak akan diterima.
Perlu dinyatakan bahawa persepsi ini bukan sekadar persepsi, tetapi berasas, kerana kerajaan tidak memperlihatkan tekad untuk memperbetulkan sistem kehakiman. Menteri Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz boleh mempertahankan Lingam dengan seribu satu alasan dalam Dewan Rakyat, tetapi rakyat telah memberi jawapan dengan mengundi Loh Gwo Burne sebagai wakil rakyat Kelana Jaya.
Akhir kata, Najib Razak yang jelas lebih tangkas dan tegas dalam langkah politiknya, berbanding Abdullah Ahmad Badawi, boleh mengambil jalan singkat atau langkah "drastik" untuk menamatkan igauan yang menghantuinya selama ini, iaitu Anwar dan Altantuya. Anak Abdul Razak yang mewarisi corak pemerintahan Mahathir Mohamad ini, dipercayai akan melakukan segala-galanya untuk mengekalkan kuasa dirinya.
Cuma, sekeras Mahathir pun gagal mengubah persepsi rakyat dalam kes liwat Anwar. Apatah lagi, Najib kini berdepan dengan masyarakat Malaysia yang telah melalui zaman "Reformasi" dan "tsunami politik".
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.
(MerdekaReview)
No comments:
Post a Comment