" Ya.. Allah.., berilah hidayat, hifazat dan maghfirahMu kepada pemimpin kami Imam Mahadi Al-Muntazar walau di mana baginda berada. Selamatkanlah baginda, bantulah baginda, begitu juga para pejuang Islam yang akan bergadai nyawa di sisinya. Ya.. Allah.., selamatkanlah seramai mungkin umat ini dari fitnah dan sihir Dajjal. Ya.. Allah.., bantulah kami menghadapi gelombang-gelombang ujian yang bakal mendatang "


INFO TERKINI GEMPA BUMI SABTU 3 MARCH 2012
8.20 pm -
Gempa bumi kuat bermagnitud 6.7 skala Richter telah berlaku di Tenggara Kepulauan Loyalty. Pusat gempa bumi tersebut terletak di latitud 22.1 Selatan longitud 170.5 Timur - 6403km Tenggara Tawau, Sabah :- JMM
PRO REFORM VIDEO - Piring Terbang..?

04 November 2009

Najib Umum Pemberian Wang Ehsan Untuk Kelantan Mulai 2010

Kelantan akan menerima wang ehsan daripada kerajaan pusat hasil pengeluaran minyak di luar pesisir negeri itu mulai tahun hadapan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada hari Rabu.

Perdana Menteri berkata sama seperti Terengganu, pembayaran wang ehsan itu diberi setelah kerajaan pusat mengambil kira keperluan untuk membangunkan Kelantan serta meningkatkan kesejahteraan hidup penduduknya selaras dengan arus pembangunan negara.

"Bagi memastikan agihan wang ehsan itu dibuat dan dinikmati secara langsung oleh rakyat Kelantan, peruntukan tersebut akan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan dan program membasmi kemisminan dan akan disalurkan terus oleh kerajaan (pusat) setelah berbincang dengan kerajaan negeri," katanya di Dewan Rakyat.

Najib berkata demikian bagi menjawab sekali gus soalan-soalan yang dibangkitkan oleh beberapa Anggota Parlimen dari Kelantan sebelum ini berhubung tuntutan royalti minyak bagi negeri itu.

Perdana Menteri berkata kerajaan Persekutuan telah meneliti isu royalti petroleum oleh kerajaan Kelantan secara mendalam termasuk dari sudut perundangan berkaitan kuasa kerajaan serta pengurusan hasil petroleum negara.

"Dari segi perundangan Kelantan tiada hak untuk membuat tuntutan begitu juga Terengganu," katanya.

Najib berkata berdasarkan undang-undang, Kelantan dan Terengganu hanya berhak menuntut wang royalti sekiranya terdapat sumber petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri berkenaan.

Perairan negeri ditakrifkan sebagai terletak tidak melebihi tiga batu nautika yang diukur dari tikas air surut atau pesisir pantai negeri tersebut, katanya.

"Pada masa ini tidak ada pengeluaran petroleum dalam kawasan perairan Kelantan dan Terengganu. Jadi dari segi perundangan kerajaan negeri Kelantan tidak ada hak untuk menuntut royalti petroleum, begitu juga Terengganu.

Najib berkata meskipun peruntukan perundangan itu jelas, kerajaan Persekutuan sebelum ini telah memperuntukkan wang ehsan kepada Terengganu dengan mengambil kira keluaran petroleum di luar perairan negeri itu selain berdasarkan pembangunan dan pendapatan rakyat.

Kerajaan pusat memberi wang ehsan kepada Terengganu mulai 2000 yang dianggarkan RM1 bilion setahun selepas Pas mengambil alih pentadbiran negeri itu pada pilihan raya umum 1999.

"Kerajaan persekutuan komited untuk memberi pertimbangan adil dan saksama kepada semua negeri dan atas dasar itu Kelantan juga wajar diberi pertimbangan yang sama," kata Najib.

Menurut Perdana Menteri, berdasarkan maklumat Petronas, pada masa ini hanya terdapat satu medan petroleum, yang dikenali sebagai Medan Bumi Kelantan yang mengeluarkan hasil, tetapi ianya terletak di luar perairan Kelantan.

Selepas jawapan Najib, Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) bangun dan berkata bahawa Kelantan bukan "peminta sedekah" sambil terus menuntut royalti minyak untuk Kelantan.

Najib kemudian menyifatkan kenyataan anggota Parlimen Pas itu sebagai sengaja mempolitikkan isu pemberian royalti.

"Hendak politikkan isu ini...tak habis-habis politik dia. Saya tidak tahu Yang Di-Pertua apa yang penting...kita sediakan dana ini untuk memberikan manfaat kepada rakyat Kelantan, sama prinsipnya seperti Terengganu," katanya.

Suasana persidangan menjadi tegang dengan beberapa wakil pembangkang termasuk Salahuddin, Khalid Samad (Pas-Shah Alam) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) bangun menuntut penjelasan mengenai perbezaan antara royalti minyak dan wang ehsan yang diberikan.

Cubaan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) untuk meredakan keadaan dengan mengutarakan soalan tambahan tidak berjaya menyebabkan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan semua Anggota Parlimen duduk atau menghadapi tindakan keluar dewan.

"Yang Berhormat...kalau perdana menteri, menteri tidak datang, Yang Berhormat mahu mereka datang. Tetapi bila mereka datang menjawab soalan Yang Berhormat tidak mahu dengar. Yang Berhormat syok cerita sendiri," katanya sebelum meminta Najib meneruskan jawapan beliau.

Menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-Rantau Panjang), Perdana Menteri berkata bahawa sebelum ini wang ehsan itu tidak diberikan kerana berdasarkan peruntukan undang-undang Kelantan tiada hak untuk menerimanya.

"Ini melibatkan kawasan pertindihan...sekarang ini Petronas sahkan ada blok yang boleh dipertimbangkan, sebab itu kita timbang selain untuk pastikan rakyat Kelantan mendapat manfaat," katanya.

Anggota-anggota Parlimen pembangkang kemudian terus mengemukakan pelbagai soalan kepada Perdana Menteri sehingga menuntut Pandikar Amin menghentikannya dengan meminta Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mengutarakan soalan kedua dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini.

-- BERNAMA

No comments:

HIMPUNAN ARTIKEL-ARTIKEL SEBELUMNYA