KUALA LUMPUR 3 Mei - Pemuda Pakatan Rakyat memandang serius dakwaan penjenayah yang dilemparkan polis terhadap remaja Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis 26 April lalu sambil menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu satu memorandum telah diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini yang diwakili Angkatan Muda KEADILAN, Dewan Pemuda PAS Pusat, Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) serta beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Memorandum yang diserahkan kepada Setiausaha Suhakam, Hashimah Jaafar mendesak tindakan segera Suhakam untuk menyiasat dan meneliti tingkah laku polis yang bertindak menembak mati remaja 14 tahun itu.
Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Pemuda Pakatan memandang serius insiden yang menimpa mangsa termasuk tuduhan polis yang mendakwa mangsa seorang penjenayah.
"Pihak polis dalam kenyataan awal mendakwa Aminulrasyid terlibat dalam dalam kes samun dan dituduh sebagai penjenayah sehingga menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.
"Polis juga mendakwa menjumpai sebilah parang dalam kenderaan tersebut," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat Suhakam.
DPPP diwakili oleh ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi sementara Dapsy, oleh Anthony Loke merangkap Ahli Parlimen Rasah.
Menurut Shamsul, berlaku percanggahan fakta hasil beberapa laporan media sebelum ini di mana mengikut seorang saksi utama kejadian apa yang berlaku ialah saksi mendakwa beliau dan mangsa telah memotong kenderaan polis dengan laju yang mana kemudiannya mereka dikejar sebuah kenderaan MPV polis dan ditembak mengakibatkan kereta mereka terbabas.
Beliau juga berkata, saksi mendedahkan tembakan mengenai kepala mangsa sehingga mangsa terkulai layu, membuatkan saksi mendakwa keluar dari kereta untuk menyerah diri.
Saksi juga mendakwa salah seorang anggota polis menendangnya dari belakang sementara anggota polis yang lain turut memukul dan memijaknya beramai-ramai.
Kes ini nyata memberikan impak negatif kepada Polis DiRaja Malaysia di bawah Tan Sri Musa Hassan selaku Ketua Polis Negara termasuk rentetan beberapa kes tembakan seumpama ini berlaku beberapa tahun kebelakangan ini.
Antaranya kes tembakan membabitkan Suwandi Ab Ghani dan Muhammad Azman Aziz (program Bersih, Batu Buruk) dan Tawfiq Noorzan (Perlis).
Lebih menjelekkan lagi apabila Musa mengugut untuk mengarahkan anggota polis supaya jangan memeriksa kenderaan atau menangkap Mat Rempit yang memandu tanpa lesen.
"Kenyataan seumpama ini adalah jelas satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab, malah lebih malang ianya keluar daripada mulut seorang Ketua Polis Negara yang sepatutnya mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat. Mereka ingat institusi polis ini milik mereka," tegas Shamsul lagi.
Sehubungan itu, Pemuda Pakatan meragui dua perkara yang berlaku di sebalik insiden ini yang mana seharusnya menjadi asas kepada Suhakam untuk meneliti kes ini secara menyeluruh.
"Pertama apakah tembakan boleh dilepaskan sewenangnya oleh polis hanya dengan alasan "mempertahankan diri", sedangkan dalam beberapa perakuan saksi utama menunjukkan bahawa tiada sebarang tindak balas diambil oleh mangsa melainkan cuma melarikan diri berikutan suasana panik.
"Dan kedua apakah arahan tetap Ketua Polis Negara memberikan justifikasi yang longgar kepada mana-mana anggota polis sama ada beruniform ataupun preman untuk melepaskan tembakan sewenangnya tanpa sebarang amaran diberikan terlebih dahulu?," katanya.
Pemuda Pakatan juga menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri untuk menubuhkan panel khas siasatan adalah sesuatu yang tidak memadai memandangkan wujud "clash of interest" apabila PDRM adalah agensi di bawah KDN.
"Lagipun panel khas tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa, hanya bertindak sebagai pemantau dan hanya melaporkan balik kepada KDN, bukan kepada rakyat secara terbuka," jelas Shamsul lagi.
Hadir sama Ahli Dewan Negeri Batu Caves, Amirudin Shari, ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh, Ketua AMK Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Kamaruzaman Mohamad.
(Suara Keadilan)
" Ya Allah berilah Hidayat, Hifazat dan maghfirahMu kepada pemimpin kami Imam Mahadi Al-Muntazar walau di mana baginda berada. Selamatkanlah baginda. Bantulah baginda. Begitu juga para pejuang Islam yang akan bergadai nyawa di sisinya. Ya Allah selamatkanlah seramai mungkin umat ini dari fitnah dan sihir Dajjal. Ya Allah bantulah kami menghadapi gelombang-gelombang ujian yang bakal mendatang "
1 comment:
tu la polis nak tolong sangt UMNO kan dah kena....
Post a Comment