Dalam ucapan perbahasan belanjawan baru-baru ini ada saya nukilkan petikan dari Cicero, “The budget should be balanced, the treasury should be refilled, public debt should be reduced, the arrogance of officialdom should be tempered and controlled….lest Rome become bankrupt.” Cicero bukan sahaja terkenal sebagai seorang orator malah juga sebagai seorang ahli politik dan falsafah di zaman Rom, tentu menyedari kepentingan pengurusan kewangan yang baik, telus dan boleh dipertanggungjawab; ciri-ciri yang semakin terhakis dari pengurusan ekonomi negara kita.
Berdepan dengan kedudukan ekonomi sejagat yang tidak menentu serta sikap kerajaan yang masih dalam penafian akan dampak krisis tersebut ke atas ekonomi negara, kita sudah tentu merasa terkejut akan desas desus adanya usaha untuk membeli kembali 40% pemilikan janakuasa berasaskan arang batu terbesar negara di Kapar oleh Tenaga Nasional Berhad sedangkan pada asalnya, ianya adalah milik TNB. Janakuasa tersebut dijual kepada Malakoff pada tahun 2004 dengan harga RM 1.68billion dan sekiranya Kementerian Kewangan meluluskan rancangan tersebut, maka TNB berkemungkinan membayar sejumlah RM 2.9billion kepada Malakoff untuk membeli kembali janakuasa tersebut.
Adalah wajar buat kerajaan, TNB dan Malakoff memastikan segala urusan telus untuk penelitian awam. Di samping itu perbincangan dan nasihat dari pelbagai pihak tidak boleh diabaikan sama sekali. Pakatan Rakyat secara tuntas menegaskan bahawa ketirisan tidak lagi boleh dibiarkan berterusan. Krisis ekonomi seharusnya menyedarkan semua pihak. Nasihat Cicero bahawa the arrogance of officialdom should be tempered and controlled….lest Rome become bankrupt merupakan mutiara kata yang semakin relevan kini.
(DSAI)
No comments:
Post a Comment