12 tahun sejak gerakan Reformasi, Azmin Ali disifatkan tidak lebih sebagai pengikut setia bosnya, Anwar Ibrahim. Azmin bukan Ezam yang hebat berpidato sehingga membakar emosi orang muda; Azmin tidak terserlah seperti Tian Chua apabila turun ke jalan raya; Azmin tidak memiliki otak Khalid Jaafar yang sarat dengan falsafah; malah Azmin gagal menandingi kepakaran Khalid Ibrahim dalam dunia korporat.
Beliau dituduh cuba merampas kedudukan Timbalan Presiden daripada Syed Husin Ali; beliau disyaki berkomplot untuk menggulingkan Khalid Ibrahim dari jawatan Menteri Besar Selangor; beliau dituduh menghina kaum India; beliau dikatakan tidak disenangi anggota PKR Sabah dan Sarawak...
Calon Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali cuba menjawab segala-gala ini dalam Majlis Pidato Penerimaan Pencalonan dan Pelancaran Manifesto "Reformasi Menuju Putrajaya" pada 16 Oktober 2010. Majlis dimulakan dengan persembahan seni, disusuli dengan ucapan pemimpin dalam partinya.
Kehadiran kira-kira 1,500 orang penyokong memenuhi Dewan Auditorium yang bertingkat dua. Azmin Ali memasuki medan pertarungan jawatan Timbalan Presiden, dalam laungan "Reformasi" dan tepukan gemuruh - untuk berdepan dengan Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub.
Penghargaan terhadap Syed Husin Ali
Berbeza daripada Zaid Ibrahim, yang mencungkil ketidakselesaan sesetengah anggota parti yang menyanjungi Syed Husin Ali dengan tuduhan "nyanyuk" atau "nyanyu"-nya, Azmin Ali dengan tangkas merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya, malah menggelar Timbalan Presiden PKR ini sebagai "seorang negarawan ulung yang komited dan istiqamah dalam perjuangan".
Bukan begitu sahaja, Manikavasagam tampil untuk menjamin sokongan daripada kaum India. Beliau menyebut nama N.Gobalakrishnan dalam ucapan bahasa Tamilnya, dipercayai cuba membersihkan tuduhan terhadap Azmin Ali, yang dikatakan pernah menghina N.Gobalakrishnan dengan panggilan "pariah".
Begitu juga, wakil dari Sabah yang tampil untuk memuji Azmin Ali atas sumbangan beliau dalam usaha mempertingkatkan bilangan anggota di Sabah, memperkembangkan aktiviti parti dan mempertahankan prinsip "satu lawan satu" di Sabah.
Manifesto Azmin Ali
Malah, Azmin sendiri cuba menampilkan imejnya yang selari dengan prinsip perjuangan PKR dalam manifestonya yang bertemakan "Reformasi menuju Putrajaya". Beliau yang tidak berpuas hati kerana dituduh sebagai "ultra-Malay", semata-mata kerana pesaingnya Zaid Ibrahim mempunyai imej yang lebih "terbuka" dalam isu perkauman, menekankan bahawa dirinya pernah mempertahankan pendirian bahawa "KeADILan bukanlah sebuah parti Melayu".
Azmin tidak lupa "Agenda Borneo"-nya, yang menuntut agar kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak dikembalikan mengikut Watikah Permasyhuran Malaysia yang ditandatangani pada 16 September 1963.
Menyedari persepsi umum bahawa Zaid Ibrahim lebih disenangi parti komponan Pakatan Rakyat, Azmin Ali turut menyentuh bentuk kerjasama yang berdasarkan kedudukan kesamarataan antara parti di dalam Pakatan Rakyat, sambil mengakui hakikat dan realiti bahawa PKR tidak mampu mentadbir negara tanpa kerjasama rakan parti.
3 M
Sering kali teori 3 M (Machinery, Money and Media) digunakan untuk menjelaskan kemenangan Kerajaan BN dalam Pilihan Raya Umum yang lalu. Khalid Jaafar ketika merungkai manifesto Azmin Ali, juga menyimpulkannya sebagai 3 M, iaitu menggilap idealisme, memupuk kesetiaan kepada parti dan memperkasa organisasi.
Nilai kebebasan dan demokrasi turut dibicarakan dalam ucapan pemimpin, yang dipercayai untuk menyangkal hujah yang diketengahkan Zaid Ibrahim sebelum ini. Ketika membincangkan kebebasan, sama ada Khalid Jaafar mahupun Azmin Ali, akan menjurus kepada kebebasan yang akan "memperkukuhkan parti".
Azmin Ali cuba menonjolkan kelebihan dirinya. Antaranya, calon Ketua Wanita Zuraidah Kamaruddin menegaskan "kesetiaan", yang dikatakan nilai yang paling penting. Disiplin, "diuji dan teruji" - menjadi frasa yang paling kerap disebut, untuk menonjolkan Azmin Ali sebagai pemimpin yang sudah 12 tahun berada dalam PKR - kelebihan yang tidak dimiliki Zaid Ibrahim.
Manusia Organisasi
Ciri-ciri kelebihan Azmin Ali dihuraikan oleh rakan sekerjanya, Khalid Jaafar dan Mansor Othman. Khalid Jaafar menggelar Azmin sebagai "manusia dan insan organisasi", mengingatkan bahawa sesungguhnya PKR mempunyai gagasan yang mendahului zaman, namun perjuangan ini hanya berjaya apabila mempunyai organisasi yang "sakti".
Mansor Othman pula membacakan profile Azmin Ali, seterusnya menceritakan bagaimana terperincinya Azmin Ali dalam mengatur kerjanya. Calon Naib Presiden ini mengisahkan pengalaman dalam satu pilihan raya di Sarawak, di mana Azmin Ali begitu teliti sehingga mencatatkan waktu dan jarak dari satu tempat ke satu tempat semasa lawatannya, untuk digunakan ketika menyusun jadual lawatan Anwar Ibrahim - yang tidak mempunyai masa yang lebih untuk dibazirkan.
Azmin Ali telah cuba sedaya-upaya untuk menampilkan yang terbaik daripada dirinya - daripada gerak gerinya, ucapannya, manifestonya, malah keupayaannya untuk mengerah sokongan rakan seperjuangannya ke Majlis ini. Terpulanglah kepada anggota PKR untuk menerima atau tidak pimpinan beliau, dalam perjuangan PKR menuju ke arah Putrajaya.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
No comments:
Post a Comment