" Ya.. Allah.., berilah hidayat, hifazat dan maghfirahMu kepada pemimpin kami Imam Mahadi Al-Muntazar walau di mana baginda berada. Selamatkanlah baginda, bantulah baginda, begitu juga para pejuang Islam yang akan bergadai nyawa di sisinya. Ya.. Allah.., selamatkanlah seramai mungkin umat ini dari fitnah dan sihir Dajjal. Ya.. Allah.., bantulah kami menghadapi gelombang-gelombang ujian yang bakal mendatang "


INFO TERKINI GEMPA BUMI SABTU 3 MARCH 2012
8.20 pm -
Gempa bumi kuat bermagnitud 6.7 skala Richter telah berlaku di Tenggara Kepulauan Loyalty. Pusat gempa bumi tersebut terletak di latitud 22.1 Selatan longitud 170.5 Timur - 6403km Tenggara Tawau, Sabah :- JMM
PRO REFORM VIDEO - Piring Terbang..?

24 September 2009

Apa Sebenarnya Hasan Ali Mahukan?

Hasan Ali tidak akan membiarkan kerajaan PR Selangor kesunyian. Beliau sentiasa mencari isu yang terbukti janggal bagi lain-lain pimpinan dalam PR. Beliau dilihat sentiasa mengkritik dasar yang digunakan oleh kerajaan PR Selangor .

Terbaru, beliau telah mempertikaikan perjalanan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selcat) yang kini menyiasat dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri walaupun beliau sendiri merupakan anggota eksekutif yang turut terlibat dalam penubuhan Selcat.

Jadi, cerita yang mengatakan beliau terlibat dalam 'pakatan' dengan beberapa ADUN BN disana bagi 'menjatuhkan' kerajaan PR Selangor mungkin ada kebenarannya. Tidak salah dengan wujudnya pendapat agar Hasan meninggalkan PR jika beliau tidak lagi mampu bekerjasama dengan lain-lain wakil rakyat dalam PR.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Wakil Rakyat PAS dan penyokong sepatutnya boleh membuat penilaian terhadap tindakan Hasan yang sentiasa bertentangan dengan dasar kerajaan PR Selangor sehingga menimbulkan tanggapan bahawa kerajaan PR di Selangor lemah dan rapuh.

Sebelum ini Hasan sudah dinasihatkan oleh pucuk pimpinan tertinggi PAS supaya mengelak daripada membuat kenyataan yang bertentangan dengan dasar kerajaan PR ekoran daripada kontroversi yang dibuat oleh beliau berhubung dengan isu arak.

23 September 2009

DSAI: SPR Harus Baiki Sistem Undi Pos

DSAI mendesak agar SPR membersihkan senarai pengundi pos di Bagan Pinang dan memperbetulkan kaedah pengundian Pos yang dilaksanakan oleh SPR yang dilihat tidak telus dan tidak adil.

Beliau melahirkan rasa tidak senang dengan kaedah mencurigakan yang digunakan oleh SPR dalam mengendalikan pengundian pos. Sekiranya pengundian pos dijalankan secara telus dan adil, PR dapat memberikan saingan yang sengit terhadap BN walau siapa pun calon yang diletakkan oleh parti perkauman itu di PRK Bagan Pinang nanti.

Beliau berkata, "Yang menjadi masalah dan menimbulkan keraguan rakyat adalah mengenai prosedur yang ditetapkan oleh SPR seperti tiada pengawasan yang teliti sewaktu pengundian, tidak membenarkan calon berada di pusat mengundi ketika proses pembuangan undi pos berlangsung, pengiraan undi selepas 3 hari dan tiada kemaskini data pengundi pos,".

Isa Samad Calon Pilihan No 1 UBN?

Mohd Isa Samad tetap menjadi calon pilihan bagi perwakilan Umno Bahagian Telok Kemang. Setakat ini beliau merupakan calon pilihan No 1 BN bagi PRK DUN Bagan Pinang biarpun sebelum ini beliau pernah dikenakan tindakan disiplin parti atas tuduhan politik wang. Bagi perwakilan disana, Isa sahaja yang mampu menyatu-padukan masyarakat di Port Dickson.

Bagi MB Negeri 9 Mohamad Hassan pula, sekiranya Mohd Isa dipilih, mungkin ianya akan menggugat kedudukan beliau. Ini kerana pengaruh Mohd Isa begitu kuat disana dan senario mengambil-alih kembali kuasa dan kedudukan yang terpaksa ditinggalkan sementara sebelum ini akan berlaku. Dalam UBN, kes seumpama itu (terlibat dengan politik wang) adalah perkara biasa bagi mereka.

Bagi PR pula, yang menjadi masaalah besar adalah dengan wujudnya 'pengundi pos' seramai 5,171 atau 37 peratus pengundi disana. Rekod pada PRU lalu menunjukkan DUN berkenaan mempunyai seramai 14,192 pemilih, termasuk 4,925 pengundi pos yang semua maklum ianya sentiasa memihak kepada calon BN.

BN pasti akan merasa begitu selesa dengan adanya pengundi pos rela paksa disatu-satu kawasan pengundian. Oleh kerana itu mereka begitu beriya-iya untuk bertarung pada PRK kali ini bertujuan untuk mengaburi mata rakyat dengan mengatakan bahawa rakyat sudah beralih menyokong BN dan menolak PR.

Bagaimanapun PR tidak cepat patah semangat. PR menaruh harapan dengan suasana politik sekarang, pengundi-pengundi biasa mampu membuat kejutan besar.

Nizar Seru Warga Perak Buat Perubahan Besar-Besaran

Bagi Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat Dato' Seri Ir. Nizar Jamaluddin, Syawal ini perlu dijadikan iktibar dan persediaan untuk seluruh rakyat di Perak melakukan perubahan besar-besaran sekiranya pilihan raya negeri dibuat pada masa yang terdekat.

Kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, kemelut politik dan krisis perlembagaan yang berlaku akibat rampasan kuasa pada 5 Februari 2009 telah menyebabkan Perak dilanda malang dan krisis.

"Tolaklah mereka yang terbukti mengenepikan perintah keadilan dan amanah, zalim terhadap hak rakyat, menyalahgunakan agensi kerajaan seperti SPR, SPRM, polis dan kehakiman.

"Tolak mana-mana yang berjuang di atas prinsip perkauman dan 'assobiyah' kerana itu tiada tempat dalam Islam.

"Nabi Muhammad menyatakan dengan jelas bahawa bukan dari kalangannya mereka yang hidup-matinya, perjuangannya kerana bangsanya atau kaumnya," jelas Nizar dalam perutusan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Dalam perutusannya itu, beliau merasa pelik apabila umat Islam mengabaikan perintah Allah dan ibadat yang lain tetapi memberi keutamaan kepada amalan berpuasa.

Katanya hanya satu ayat dalam surah al-Baqarah (ayat 183) memerintah umat Islam berpuasa, tetapi dengan puluhan ayat yang mengarahkan solat dipandang sepi dan tidak ambil berat.

"Sikap begini berlaku oleh kerana sepanjang kita merdeka 52 tahun, puasa dijadikan ibadat khusus, sahur, buka, tarawih, tadarus dan raya dan tak lebih dari itu," katanya yang juga ADUN Pasir Panjang.

Bahkan isi kandungan takbir raya itu sendiri yang turun dan diungkap oleh Nabi Muhammad pertama kalinya dalam peperangan Badar mengajak umat Islam membuat perubahan besar-besaran.

Namun malangnya takbir raya itu telah disensasikan, didayukan serta disyahdukan di kalangan masyarakat melayu sehingga hilang roh dan semangat takbir itu sendiri.

"Semangat jihad pengorbanan, kembali kepada menegak kalimah Allah dan pensucian aqeedah telah tenggelam dek kerana alunan dayu sensasi takbir raya," katanya.

Selain itu katanya, sebagai ibadat tertua, puasa menuntut umat Islam memperolehi ketaqwaan sebagai tiket untuk bertemu dengan Allah diakhirat kelak dan tanpa taqwa ini, sesaorang itu tidak boleh mendapat pertimbangan Allah untuk ke syurga.

"Mari tolak perkauman dan terima nilai-nilai Islam dalam melaksanakan tugasan kita sebagai Khalifah dimuka bumi ini.

"Saya mewakili keluarga dan seluruh warga Pakatan Rakyat menyusun jari sepuluh memohon keampunan atas segala kesalahan dan kelemahan tempoh hari. Bertemu di Bagan Pinang!" katanya dalam perutusan tersebut.

(HarakahDaily)

Seret SPR Ke Mahkamah Jika Tidak Beri Pilihan Pada Pengundi Pos

Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Yusmadi Yusof berkata beliau akan membawa ke mahkamah sekiranya pengundi pos, khususnya dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang tidak diberi pilihan untuk mengundi secara biasa atau secara pos.

Katanya, ini memandangkan keadaan semasa membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mereka seperti warganegara yang lain tanpa sebarang diskriminasi.

“Dalam hal ini saya berpendapat bahawa keadaan-keadaan yang membenarkan undi pos digunakan di Bagan Pinang tidak wujud untuk memberi alasan yang munasabah agar undi pos boleh digunakan,” katanya.

Menurut rekod pilihanraya umum lalu, DUN Bagan Pinang mempunyai 14,192 pemilih, termasuk 4,925 orang melalui pos - yang sering dicurigai oleh pembangkang akan memenangkan calon BN.

Dalam satu kenyataan hari ini, Yusmadi yang juga ahli parlimen Balik Pulau berkata, semua warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama di bawah Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Hanya Perlembagaan sahaja yang akan membenarkan keadaan-keadaan tertentu di mana sesuatu tanggungjawab perundangan boleh disempurnakan di dalam keadaan yang berbeza daripada tanggungan warganegara yang lain.

“Sejarah perundangan menunjukkan undi pos hanya dibenarkan dalam beberapa keadaan tertentu yang tidak memungkin warga tersebut boleh mengundi seperti warga yang lain.

“Seperti tanggungjawab parajurit yang terlibat di medan perang seperti yang dilakukan pada tahun 1918 di England melalui Representation of the People Act 1918 yang berlatar belakangkan keadaan perang semata-mata di atas alasan “by reason of the nature of their occupation ... from voting at a poll,” katanya.

Fasal 8 Perlembagaan Persekutuan pula, tambahnya, dengan jelas menetapkan bahawa kesaksamaan semua di bawah undang-undang.

“Dengan mengenakan undi pos kepada warga dan kelompok tertentu tanpa alasan yang munasabah di bawah perlembagaan, akan terjumlah kepada diskriminasi terhadap warga dan kelompok tersebut.

“Di dalam hal ini saya yakin ramai di kalangan warga dan kelompok tersebut seperti tentera dan polis yang tahu akan hak mereka, mahu menunaikan tanggungjawab mengundi seperti mana warga yang lain tanpa sebarang diskriminasi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Apatah lagi sekiranya ianya dibuat secara paksa dan bukanlah melalui pilihan warga tersebut.

“Bagi mengelakkan berlakunya diskriminasi tersebut, saya mencadangkan agar warga dan kelompok yang sebelum ini terpaksa mengundi secara pos, dibenarkan untuk mengundi secara biasa ataupun diberi pilihan samada mahu mengundi secara biasa atau pun secara pos memandangkan keadaan semasa membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mereka seperti warganegara yang lain tanpa sebarang diskriminasi.

“Di dalam hal ini saya berpendapat bahawa keadaan-keadaan yang membenarkan undi pos digunakan di Bagan Pinang tidak wujud untuk memberi alasan yang munasabah agar undi pos boleh digunakan.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk membawa isu ini ke Mahkamah sekirangan SPR tidak mengambil tindakkan segera seperti yang dicadangkan iaitu memberi pilihan kepada warga dan kelompok yang didiskriminasi secara paksa untuk mengundi secara pos dan bukan dengan kaedah undi secara biasa,” tegas Yusmadi lagi.


(malaysiakini)

PRK Johol Selepas Bagan Pinang?

Belum pun pilihanraya kecil Bagan Pinang bermula, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) petang tadi baru menerima satu lagi Surat Perletakan Jawatan dari Adun Johol, Barisan Nasional. Punca pengutusan surat tersebut kerana ADUNnya sedang bersabung nyawa; akibat penyakit kanser tulang tahapan ketiga/genting.

Ini menandakan Negeri Sembilan bakal menempuhi satu lagi pilihanraya kecil, selepas selesainya pilihanraya kecil Bagan Pinang kelak. Pun begitu, MKT PKR Badrul Hisham Shaharin @ Chegubard berkata, SPR sedaya upaya cuba menyelamatkan BN dengan menolak surat perletakan jawatan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, dua ADUN BN yang lain sedang berdepan dengan pertuduhan rasuah yang membolehkan kedua-dua mereka hilang kedudukan sebagai ADUN. Jika berlaku juga pilihanraya di kedua-dua Dun itu, menjadikan BN Umno terus diselubungi sindrom takut kalah pilihamraya (atychiphobhia).

Ini kerana, Umno sudah kalah tujuh kali berturut-turut di Semenanjung – Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Manek Urai, Penanti dan Permatang Pasir.

Umno BN bertambah bimbang, takut-takut Negeri Sembilan akan jatuh dalam genggaman Pakatan Rakyat (PR). Ianya tidak mustahil kerana perbezaan kerusi BN-PR hanya empat kerusi sahaja.

Sama-sama kita nantikan apa pula konspirasi SPR-UMNO BN dalam masa terdekat ini demi mempertahankan status quo mereka sebagai pemerintah zalim menjelang PRU13 kelak. -zainulfaqar

Kelantan Tidak Putus Asa Kemuka Tuntutan Royalti Minyak

Kerajaan Kelantan masih tidak berputus asas dalam mengemukakan tuntutan royalti minyak daripada Kerajaan Persekutuan. Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, walaupun matlamat awal kerajaan negeri untuk mendapatkan bayaran tunggakan royalti minyak itu telah melepasi matlamatnya sebelum hari raya Aidilfitri.

“Kerajaan Negeri akan terus berikhtiar agar Allah membuka pintu hati pimpinan Kerajaan Pusat melunaskannya. Rundingan di peringkat pegawai kedua-dua pihak (kerajaan dan persekutuan) sedang dilakukan bagi memastikan kelancaran proses kelulusannya, bagi pihak saya, hanya mampu berdoa. Kita masih mengharapkan supaya rundingan untuk menyelesaikan isu royalti minyak antara kerajaan negeri dan pusat memberi kesan positif," kata beliau.

Mengenai kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed bahawa Kerajaan Pusat akan merangka lebih awal perancangan pembangunan untuk Kelantan bagi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), Nik Aziz berkata, bagi pihak kerajaan negeri mengalu -alukan dan menyifatkan sebagai kenyataan positif.

Menurutnya, Kelantan sebagai salah sebuah negeri anggota persekutuan, negeri ini patut mendapat hak yang sama seperti negeri lain.

Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan mengeluarkan kenyataan itu baru-baru ini, bagi memastikan negeri itu tidak ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri lain dalam tempoh pelan pembangunan lima tahun itu.

Tambah beliau, "Kita harap kenyataan pemimpin UMNO seperti itu menjadi kenyataan demi menolong rakyat dan negeri ini,".

(Bernama)