Nazri (gambar kanan) bersetuju bahawa yang bercakap (dalam klip video) itu sebenarnya Lingam. Walau bagaimanapun beliau mengandaikan bahawa Lingam hanya berlagak dan sengaja menunjuk kuasa pengaruh.
Jawapan ini langsung tidak boleh diterima kerana semasa inkuiri yang dibuat oleh Suruhanjaya Di-Raja Linggam menyatakan bahawa rakaman video klip tersebut menunjukkan orang yang dianggapnya sebagai serupa dengannya, suaranya juga sama tapi itu bukanlah dirinya.
Jadi di sana ada dua fakta yang berbeza berhubung identiti Lingam yang perlu dibuktikan kesahihannya di mahkamah. Selain itu, PAS juga melihat bahawa saranan Suruhanjaya Di-Raja supaya siasatan terhadap individu lain yang berkaitan dengan kes ini dibuat seolah-olah telah diabaikan kerana tiada laporan rasmi dibuat melainkan jawapan Nazri yang penuh andaian dan persepsi sahaja.
Oleh itu PAS sekali lagi mengingatkan intipati hasil siasatan Suruhajaya DiRaja yang mahu supaya mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan lima orang lagi, disiasat berhubung peranan mereka dalam pelantikan hakim-hakim.
Lima yang lainnya ialah bekas ketua hakim negara - Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Eusoff Chin - peguam kanan VK Lingam; bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Setiausaha Agung Umno serta ahli perniagaan Vincent Tan. Suruhanjaya itu mengesyorkan supaya mereka disiasat di bawa Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Kanun Keseksaan dan kerana menghalang proses keadilan.
Jawapan Nazri juga seolah-lah menafikan kewujudan Kod Etika Kehakiman 1964, Peruntukan 3 (d), yang mengatakan bahawa perbuatan melobi oleh seseorang hakim boleh mencemarkan nama baik Badan Kehakiman. Seseorang hakim tidak boleh berkelakuan tidak jujur sehingga mencemar nama Badan Kehakiman.
PAS yakin lebih ramai pihak, organisasi poltik, NGO dan orang awam yang akan turut mempertikaikan kelemahan jawapan Nazri ini. Sesungguhnya keadilan akan tertegak walaupun jutaan penafian dilontarkan bagi menutup bangkai gajah yang sudah lama membusuk di dalam Institusi Kehakiman Negara
Jelaslah bahawa jawapan Nazri itu mempunyai agenda tertentu yang mana semua yang terlibat dalam kes berkenaan mempunyai hubung kait dengan pemimpin Umno termasuklah Setiausaha Agungnya sekarang iaitu Tengku Adnan Tengku Mansor.
Kita sudah lali dengan taktik Umno yang menganggap perasuah sebagai dewa dan kebal dari undang-undang, malah ada yang dilantik jadi Menteri Besar dan wakil rakyat demi mempertahankan kedayusan Umno dalam memperhinakan undang-undang negara.
Maka PAS sekali lagi mendesak agar kes ini disiasat dan segera dibawa ke mahkamah. Laporan penghakimannya hendaklah diwartakan dalam media bagi memberikan jawapan pada rakyat. Inilah peluangnya jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Polis untuk membaiki imej mereka begitu juga dengan institusi Keadilan Negara yang jauh dari kepercayaan rakyat
*Kenyataan media oleh Idris Ahmad selaku Ketua Penerangan PAS Pusat.
(MerdekaReview)
No comments:
Post a Comment